Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Andi salahkan diri sendiri punca wang kena 'songlap'

Ditipu rakan baik hingga kerugian hampir RM70,000 hasil titik peluhnya menyebabkan Andi Bernadee “menyalahkan diri sendiri" kerana mudah benar memberi kepercayaan pada seseorang.

Penyanyi dan pelakon itu mendakwa, dia dikhianati dengan begitu mudah selepas bersimpati terhadap nasib rakannya yang juga seorang anak yatim.

“Apabila jadi macam ni, saya salahkan diri sendiri sebab mudah percaya dan kasihan pada orang. Saya sebenarnya simpati sebab dia seorang anak yatim.

“Mungkin atas alasan tu dia berani ambil kesempatan atas kebaikan yang saya tunjukkan,” katanya.

Andi menjelaskan dia juga masih belum menerima kembali wang berkenaan namun reda dengan kejadian yang berlaku selain menyifatkan ia mungkin bukan rezeki yang ditakdirkan untuknya.

“Ia antaranya bayaran untuk drama Perisik Cinta Tak Diundang. Tapi saya percaya kepada satu saja, ia bukan rezeki saya kerana insya-Allah, duit boleh dicari,” katanya.

Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile itu berkata demikian semasa diminta berkongsi perkembangan kes terbabit pada sidang media mempromosi drama terbaru lakonannya, Perisik Cinta Tak Diundang yang berlangsung secara maya semalam.

Nak kongsi dengan keluarga

Drama yang mendapat arahan Azmi Hatta itu sedang ditayangkan di slot Akasia setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam dan ia turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman Viu secara eksklusif pada jam 8 malam.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan penyanyi Tiada Lagi Maaf itu hanya menyedari tiada sesen pun wang hasil titik peluhnya bekerja selama enam bulan - iaitu untuk dua projek - masuk ke akaun banknya.

Andi, 29, kemudian mengesyaki rakan baiknya itu menyelewengkan hasil pendapatan tersebut selepas memberi pelbagai alasan setiap kali ditanya mengenai keberadaan wang berkenaan.

Keadaan bertambah buruk sebaik Andi mengetahui pelanggan-pelanggannya mengesahkan mereka sudah pun melunaskan segala pembayaran melalui rakannya itu sebelum Aidilfitri lalu.

Andi turut mendakwa, selepas gagal mendapatkan wang yang sepatutnya dikongsi bersama adik dan keluarga di kampung, temannya itu kemudian mula menabur fitnah terhadap dirinya.

Pada 25 Ogos lalu, Andi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi atas dakwaan melakukan fitnah dan pecah amanah membabitkan kerugian hampir RM70,000. 

Sementara itu, mengulas mengenai lakonannya sebagai Niyaz Aqasha iaitu seorang perisik dalam Perisik Cinta Tak Diundang, Andi meluahkan dia amat bersyukur diberi kepercayaan untuk menjayakan watak utama bersama Shiha Zikir memandangkan latar belakangnya bukan sebagai pelakon.

Katanya, apabila menjejakkan kaki dalam bidang lakonan, banyak pengalaman dapat ditimba selain seronok berada di set penggambaran bersama pelakon-pelakon lain.

“Ni adalah drama Akasia saya yang pertama. Ketika terima tawaran dulu saya ingat hanya untuk watak sebagai pembantu. Tak sangka, itulah rezeki.

“Jika ada pihak tawarkan saya watak utama tapi dapat rasakan tak boleh bawa watak tu, saya tetap tak akan terima. Saya bukan jenis ambil semuanya sebab kena fikir jalan cerita sesebuah drama tu dulu.

“Alhamdulillah, saya seronok menjayakan drama ni dan jujurnya, saya sudah jatuh hati dengan bidang lakonan sejak saya membintangi Melastik Ke Hatimu,” katanya.