Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Filem Tamil dan persefahaman politik

Saya minat menonton filem Tamil kerana kandungannya banyak mengisahkan tentang pemimpin politik yang makan rasuah, melakukan penyelewengan, tamak duit, sanggup membunuh sesiapa yang menentangnya - dengan membongkar skandal dan projek yang mementingkan golongan kapitalis dan mengupah samseng membunuh hero yang mewakili rakyat.

Namun apabila saya memberitahu beberapa rakan yang saya meminati filem Tamil mereka mentertawakan saya. Tidaklah pasti apakah sebabnya secara spesifik tetapi mungkin mereka masih beranggapan filem Tamil tidak bermutu berbanding filem Hollywood dan Korea. Jika anda mengatakan minat kepada filem Hindustan, tiada komen sinikal mengenainya.

Kebanyakan filem Tamil mengisahkan kepimpinan politik seperti di atas tidak mementingkan rakyat, taburan duit diberikan kepada rakyat hanya mengumpan mereka untuk mengundi parti-parti tertentu.

Persekongkolan pihak berkuasa dengan mereka yang berkuasa seolah-olah ingin menunjukkkan realiti pihak berkuasa di India. Saya rasa ada kebenaran dengan apa yang ditonjolkan tetapi yang berlebih-lebihan dan tidak percaya ialah heronya yang dapat menumpaskan ratusan penjahat dengan beberapa kali “dush”…tendangan dan tumbukan. Inilah yang suka ditontoni oleh khalayak walaupun penuh adegan keganasannya.

Mungkin dalam dunia realiti seorang hero dengan kekuatan magis tidak mungkin dapat menumpaskan sebegitu ramai penjahat atau antagonis dan perkara ini mustahil berlaku dan segala rasuah dan penyelewengan masih terus diamalkan. Apa yang menarik ialah karyawan-karyawan filemnya berani memuat dan menonjolkan isu-isu tersebut bahkan kekadang saya merasakan dilakonkan secara terang-terangan dengan mesej hendak dikaitkan dengan sesuatu isu di sana.

Filem-filem mereka penuh sinikal dan sindiran dalam isu berkaitan poltik dan kuasa dan mewakili rakyat bawahan. Tidak dipastikan bagaimana dengan undang-undang di India, adakah wujud isu saman-menyaman? Tetapi pembuatan filem kaitan dengan politik dan kuasa agak bebas di sana.

Mungkin harus dilakukan pembacaan mengenai isu ini. Namun saya rasa elit politik di sana pun mengetahui tetapi ia adalah se buah filem fiksyen, kekadang sekadar pelarian atau eskapisme daripada kesengsaraan hidup di sana. Saya bukan orang filem dan tidak pandai untuk mengulas dengan lebih lanjut.

Maaflah di negara kita isu-isu seperti ini jangan mimpilah hendak difilemkan, ia boleh mencetus keributan, apa lagi skripnya awal-awal lagi dicantas, apatah lagi undang-undang di negara kita yang tidak akan membenarkannya isu-isu sensitif tersebut.

Apa yang ingin diceritakan di sini berdasarkan petikan daripada sebuah filem Tamil/Telugu bernama Tughlaq Durbar, sebuah filem satira politik yang disiarkan di Netflix.

Apa yang menarik kepada saya ialah satu dialog antara seorang pemimpin politik dan anak didiknya yang cenderung kepada rakyat. Pemimpin berkata kepada pemimpin muda tersebut bahawa “politics is not about trust but its about a deal”.

Mesti ada kejujuran

Pada pandangan saya sebarang kerjasama, persefahaman atau perjanjian politik yang dimaterai sama ada dengan rakyat atau pakatan politik, mesti ada nilai kejujuran dan setiakawan.

Ini yang membawa saya terus kaitkan dengan kerjasama dan persefahaman politik antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri dan PH.

Perjanjian persefahaman transformasi dan kestabilan politik yang ditandatangani PH itu bertujuan memastikan tiada lagi perebutan kuasa melalui jumlah kerusi yang berlaku antara parti-parti politik dalam negara sehingga pilihan raya ke-15.

Namun pada yang sama pembangkang masih mempunyai tanggungjawab menjalankan peranan mereka untuk memerhati dan mengkritik sebarang langkah yang dimainkan kerajaan. Seperti dijelaskan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, PH tidak akan melutut mahupun berdiam diri dari menuntut apa yang sepatutnya untuk rakyat.

Majlis MOU kerajaan-PH

Beliau menegaskan, dalam tempoh yang ditetapkan di dalam perjanjian tersebut, kerajaan perlu melaksanakan syarat pembangkang yang telah pun dipersetujui bersama antaranya membabitkan rang undang-undang lompat parti.

Apa yang utama di sini ialah saling menghormati antara satu sama lain dan pihak kerajaan tidak seharusnya mengambil kesempatan itu untuk mengekal dan mengukuhkan kuasa sebagai persediaan pilihan raya ke-15 nanti.

Mereka tidak seharus bermain di sebalik tabir atau mengatur dan mencatur strategi politik di sebalik pelitup. Apa yang diutamakan sekarang gambaran besar yang mengutamakan negara daripada parti.

Dalam hal ini akan berlaku beberapa perkara keutamaan parti dan pakatan parti perlu diketepikan dan sejauh manakah persefahaman ini mencapai objektifnya.

Sejauh manakah sasaran yang perlu dicapai dalam mengukur kejayaan persefahaman ini? Jangan nanti kita akan dengar muncul suara-suara sumbang mendakwa berlakunya keciciran dan pengkhianatan dalam mencapai persefahaman kerana ada keutamaan peribadi dan parti yang perlu diungguli.

Politik kepartian harus diketepikan dengan sejujurnya buat sementara waktu. MOU yang ditandatangani ini tidak seharusnya sekadar cacatan air liur yang dakwat mesin pencetaknya masih basah.

Pihak media dan agen-agen media sosial mewakili parti-parti di kedua belah pihak juga tidak seharusnya bermain politik dalam menggagalkan pencapaian persefahaman politik.


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.