Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lana tayang kegembiraan bersama keluarga di Miami

Enggan terus mendiamkan diri selepas timbul pelbagai andaian dia tidak akan ‘lolos’ ke AS sebelum mendapat vaksinasi lengkap Covid-19, Lana Nordin menunjukkan bukti dia kini berada di negara Uncle Sam itu.

Lana menayangkan bagaimana dia, suaminya David McKienzie dan dua anak mereka - Gia Quinn, 5 dan William Daud, 2 - sudah bersama-sama ada di Miami, Florida.

Melalui Insta Story, Lana memuat naik beberapa aktiviti yang dilakukan mereka.

“Selamat pagi AS, ia masa untuk kopi @Denny’s. Tak boleh dine-in kat Kuala Lumpur, sistur (saya) dine-in kat Miami. Jemput makan,” katanya.

Lana sebelum ini mengundang perhatian ramai apabila lantang mengkritik Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam isu pengurusan Covid-19.

Dia turut dituduh sebagai antivaksin dan cuba menghasut orang ramai dengan mempersoalkan keberkesanan kaedah pencegahan tersebut.

Bagaimanapun, Lana menegaskan dia bukan penyokong kumpulan antivaksin sebaliknya lebih kepada mahu 'berjaga-jaga'.

Perkongsian melalui Insta Story tersebut turut mendapat perhatian pelakon Rita Rudaini yang membuat kenyataan balas secara berseloroh berhubung imej yang dimuat naik Lana.

Dulu ramai kutuk, keji

Rita bertanya kepada Lana berapakah jumlah dos vaksin yang mereka sekeluarga perlu ambil sebelum terbang ke AS.

“Berapa dos ampa oiii @lananodinmckeinzie dapat rentas negara? Tanya jerr,” katanya.

Untuk rekod, Lana dan keluarganya berlepas ke AS Sabtu lalu dan bakal pulang ke Malaysia selepas semua urusan keluarga sebelah suaminya selesai.

Terdahulu, dalam hantaran berbeza, Lana meluahkan panjang lebar berkaitan cemuhan yang diterimanya di media sosial hingga mendakwa ada pihak menghalaunya dari negara sendiri gara-gara isu vaksin Covid-19.

“Ni video khas aku buat untuk yang selalu menghina dan masih mencaci serta suka buat spekulasi sendiri tanpa tanya, tanpa selidik, tanpa mengetahui kenapa dan apa aku buat.

“Ada yang kata: Oh! Dia tak lepas penerbangan apa lagi berjaya masuk AS, kat sana lagi teruk, semua tak boleh, termasuk makan di restoran, pergi ke kompleks beli-belah atau masjid.

“Selama ni aku diam, ramai yang mengutuk, menghina bahkan lebih tahu pasal AS. Video ni khas untuk kamu jangan sibuk mengata, sibuk halau aku dari negara sendiri, OK ni aku balik dan buktikan,” katanya.

Lana juga menegaskan tidak wujud isu dia menggunakan ‘kabel’ untuk pulang ke negara asal suaminya itu.

“Dari aku buat dokumen yang sah mengikut undang-undang Malaysia dan bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hingga sampai ke AS, alhamdulillah perjalanan aku dipermudahkan.

“Tiada sebarang diskriminasi atau apa-apa masalah, tiada sebarang kabel, ni semua kehendak Allah SWT,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Lana untuk mendapatkan komen lanjut mengenai perkara berkenaan.