Selepas 5 dekad berlakon Faizal tetap selesa jadi penyampai cerita
Dengan pengalaman cukup luas yang mungkin melayakkannya untuk duduk di bangku pengarah, Faizal Hussein mengakui dia lebih selesa terus bergelar pelakon meskipun hampir lima dekad berkecimpung dalam bidang itu.
Biarpun acap kali diajukan soalan sama, Faizal tetap berkata dia tidak berganjak daripada keputusannya untuk kekal menjadi “orang yang menyampaikan mesej” kepada masyarakat.
Kata aktor yang mencipta nama melalui Gila-Gila Remaja itu, dia pernah menjadi pengarah, namun berpendapat bidang tersebut bukanlah 'makanannya'.
“Pernah mengarah drama sewaktu berusia 23 tahun, tapi bagi saya, biarlah sekali tu saja. Sebab dalam jiwa, saya lebih suka menjadi seorang pelakon.
“Sudah menjadi tanggungjawab seorang pelakon untuk cuba menyampaikan mesej dikehendaki penulis skrip dan pengarah dengan sebaik-baiknya.
“Mungkin takdir dah ditentukan untuk saya menjadi seorang penyampai (pelakon) cerita, bukan pembuat (penulis skrip atau pengarah) mesej,” katanya.
Fazal berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama terbaru lakonannya iaitu I-Tanggang yang diadakan secara maya baru-baru ini.
Drama I-Tanggang dijadual menemui penonton setiap jam 9 malam Isnin bermula 13 Sept ini menerusi Astro Citra. Selain Faizal, naskhah itu turut dibintangi Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia dan Emelda Rosmila.
Ditanya formula untuknya terus kekal relevan selain sering menjadi pilihan penerbit atau pengarah sebagai tunggak utama sesebuah naskhah, Faizal, 54, berkata: “Tak ada formula tertentu.”
Cuma kata Faizal yang turut popular dalam filem Bunohan itu, prinsipnya adalah dengan mengutamakan eksklusif.
“Tak semua perkara perlu dikongsikan, sebaliknya simpan sedikit untuk pengetahuan kita saja.
“Untuk jadi istimewa dan terus kekal relevan, apa saya buat hanya pastikan jaga penampilan, kualiti lakonan dan disiplin,” katanya.
Sementara itu, mengulas penampilannya dalam I-Tanggang, Faizal berkata, dia menerima tawaran membawakan watak Rahmat kerana mesej berkaitan masalah mental Munchausen syndrome by proxy yang ingin disampaikan kepada penonton.
“Mungkin ramai yang masih tidak sedar mengenai kerana mereka kurang pendedahan mengenai penyakit ini,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai