Patuh SOP bila dah dapat peluang jana ekonomi - Rosyam
Rosyam Nor berharap tiada produksi melanggar garis panduan diumumkan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja, pelakon dan kru produksi melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 sebelum memulakan penggambaran.
Kata penerbit dan pelakon itu, tindakan berkompromi dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu hanya akan menyusahkan semua pihak yang betul-betul memerlukan pekerjaan sekarang.
“Tolong jangan menyusahkan orang lain kerana kami nak bekerja dalam keadaan selamat, selesa dan gembira,” katanya.
Justeru, pemilik nama penuh Mohamed Noor Shamsuddin itu menyarankan pelakon yang belum lengkap divaksin agar menolak mana-mana tawaran berlakon daripada memudaratkan orang lain.
“Apabila ada peluang untuk menjana semula ekonomi, saya harap semua orang patuh dan bekerjasama dałam berhadapan pandemik ni.
“Sama ada pelakon itu antivaksin atau belum divaksin, sepatutnya mereka sendiri yang mengambil keputusan untuk tolak atau tarik diri sekiranya ditawarkan untuk berlakon,” katanya.
Rosyam berkata demikian pada sidang media pelancaran program baru saluran TV9 yang berlangsung secara maya hari ini.
Sebelum ini, pelakon veteran popular Fauziah Nawi dan pengarah serta penerbit Jinggo meluahkan perasaan kurang senang terhadap penerbit yang mengambil pelakon belum vaksin untuk memulakan penggambaran.
Kata mereka, mengambil pelakon yang belum lengkap vaksinasi boleh mendatangkan risiko penggambaran dihentikan selain mengakibatkan kelonggaran aktiviti ditarik balik MKN.
Pun begitu, Rosyam, 54, menjelaskan kenyataan yang dibuatnya itu bukan kerana dia membenci golongan belum mengambil atau menolak vaksin.
“Kami tak marah mana-mana pelakon jika tak nak vaksin. Tapi sesiapa tak nak vaksin PM (private message) tepi,” katanya sinikal.
Sementara itu, mengulas peranannya menjayakan pembaharuan TV9, Rosyam berkata, dia tampil sebagai hos program Sembang Viral, sebuah kapsul berdurasi 10 minit.
Selain Rosyam, Fedtri Yahya turut diberi kepercayaan untuk menjadi hos segmen berkenaan.
Kata Rosyam, rancangan yang bakal bersiaran setiap hari jam 7.30 malam bermula 13 Sept ini akan mengupas isu-isu dikongsikan netizen dari perspektif Islam secara santai bersama panel jemputan.
“Zaman dulu bersembang di kedai kopi, tapi sekarang dalam Internet saja dan boleh dilayari di seluruh dunia. Namun banyak perkara tular tak dapat jawapan sebenar daripada netizen.
“Dalam 10 minit tu nanti, kita akan bincangkan isu-isu yang berlegar di media sosial secara pantas, padu, padat dan pendek. Walaupun sekejap, rancangan berkenaan sarat maklumat dan bermanfaat,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai