Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Program realiti pertama dalam talian berdepan cabaran cari pemenang

Keterbatasan industri seni dalam menganjurkan program pencarian bakat akibat Covid-19 mencetus idea buat syarikat rakaman COF Music untuk menganjurkan pertandingan nyanyian sepenuhnya secara dalam talian.

Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim berkata, COF Lockstar program realiti pertama secara dalam talian berdepan cabaran tersendiri apabila bermatlamat melahirkan penyanyi baru yang bersandarkan pada bakat dan kualiti.

“Ia memberikan cabaran tersendiri pada pasukan produksi terutama dari segi nak cari kualiti peserta.

“Ada lebih 2,000 video yang dihantar dan kesemuanya dinilai terlebih dulu oleh juri profesional untuk memilih 12 yang terbaik.

“Daripada jumlah itu, lima atau enam peserta akan berentap pada peringkat akhir iaitu pada minggu kelima.

“Selebihnya akan melalui proses penyingkiran dari minggu pertama sehingga empat,” katanya.

Aman berkata demikian pada sesi sidang media secara maya yang diadakan baru-baru ini.

Jelasnya, antara lain, misi pencarian bakat baru itu juga perlu memilih 12 peserta yang bukan terdiri dalam kalangan artis atau penyanyi sedia ada.

“Tak dinafikan memang kami ada menerima penyertaan daripada artis, namun mereka terikat dengan kontrak syarikat rakaman, justeru kami tak boleh terima untuk kemasukan pertandingan ini.

“Telah kami maklumkan sebelum ni bahawa antara syarat penyertaan adalah bergerak sendiri.

“Jadi, 12 peserta yang terpilih memang semua segar, wajah baru serta miliki bakat luar biasa,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan peserta COF Lockstar juga lebih suka berkongsi bakat dimiliki di media sosial seperti membuat nyanyian semula lagu atau cover version.

Menurut Aman, 12 peserta itu terdiri daripada satu peserta berkumpulan, satu secara trio, tiga rappers dan selebihnya solo.

Lima penyanyi terkenal tanah air ditampilkan selaku juri profesional COF Lockstar iaitu Hazama, Akim Ahmad, Black Hanifah, Tomok dan Altimet, manakala Ajak dipilih selaku hos program dan komposer Pown Hasril pula bertindak selaku Pengarah Music.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan juri pertandingan COF Lockstar, Aman berkata secara ringkas, dia mempunyai alasan tersendiri mengalami memilih semua penyanyi lelaki.

“Hazama, Akim, Black, Tomok dan Altimet pernah jadi juri untuk program realiti, berbetulan pula kita memang mencari bakat baru, jadi pemilihan mereka sangat sesuai.

“Pada saya tak ada istilah kenapa semua juri lelaki dan tak ada perempuan, yang penting mereka profesional.

“Dengan pengalaman yang ada, saya fikir semuanya hebat. Itu yang pada saya sesuatu yang menarik. Masing-masing ada cita rasa tersendiri,” katanya.

Pemenang tempat pertama bernilai RM50,000 trofi dan kontrak bersama COF Music.

Bagi tempat kedua, pemenang akan membawa pulang RM5,555 beserta trofi manakala pemenang tempat ketiga meraih RM3,333 beserta trofi.

Selain itu, turut disediakan dua kategori iaitu Most Creative dan Most Viewers yang masing-masing membawa pulang RM1,000 dan trofi.

Persembahan mingguan ditayangkan secara Live Stream jam 9 malam di YouTube dan Facebook COF Music.