ULASAN | Sukarnya memadam sangsi pada bangsa, agama berbeza
Sepasang suami isteri beragama Kristian, tiga empat keluarga Cina dan dua tiga Melayu digaul dengan bersahaja untuk sebuah cerita. Dan di belakang semua itu adalah watak seorang guru pencen.
Itu latar cerita di sebalik Kelekati Pun Bersayap yang digarap dengan baik oleh Mohamad Kholid Hamzah dalam buku terbarunya. Di sebalik pakej yang sederhana dari segi luarannya (dan diharap dapat diperbaiki pada masa depan), Mohamad Kholid menghidangkan secebis cerita itu dengan berkesan.
Cuma kalau ada yang boleh ditegur ialah, masukan kata pengantar yang berlebihan dan sedikit mengganggu pembaca jika ia ditekuni sebelum menikmati cerita yang disiapkan.
Mohamad Kholid menggunakan watak Simon yang mengabdikan dirinya untuk menjadi sukarelawan bagi menjaga anak-anak kurang upaya di Cameron Highlands.
Ada anak autistik, ada anak cerebral palsy.
Selain masalah mencari dana, cabaran yang tidak kurang besar dihadapi Simon dan isterinya, Vic, ialah kecurigaan melampau komuniti Melayu kepada kerja-kerja amal mereka.
Dan di situ jugalah 'kecantikan' orang yang diceritakan oleh Mohamad Kholid dalam Kelekati Pun Bersayap ini.
Cerita bersahaja, tidak mendera
Hidup yang harmoni dan penuh kasih sayang itu lazimnya dunia yang diimpikan oleh semua manusia yang waras. Namun pada realitinya tidak semua orang mahu ia wujud dan dinikmati bersama, justeru mereka akan menggerakkan apa saja makar untuk mewujudkan sikap saling membenci, atau sekurang-kurangnya naluri sentiasa mencurigai.
Maka bagi sesiapa yang berasa kecewa dengan realiti itu, mereka boleh menikmati dunia yang diidamkan itu di Rumah Harapan kendalian Simon, Vic dan pembantu mereka, Ammah.
Namun keindahan yang paling asas dan tidak boleh diabaikan oleh pembaca Kelekati Pun Bersayap ialah isu orang kurang upaya (OKU), keluarga yang berdepan pelbagai cabaran serta emosi mereka.
Pada banyak keadaan ia dikisahkan dengan begitu baik oleh Mohamad Kholid dan jika dibaca dengan hati yang terbuka, pembaca boleh menambah kefahaman - misalnya - mengapa ada anak OKU yang dikurung oleh keluarga sendiri.
Kadang-kadang dilema itu bukanlah semudah apa yang difahami orang biasa dan selalu menjadi tumpuan media massa sehingga melibatkan isu penderaan.
Kelekati Pun Bersayap bercerita mengenai hidup Simon, Cikgu Mujir yang sudah pencen dan uzur dan tetap memanggil bekas anak muridnya itu sebagai Rajendran, Pak Man Sate, Hana, Kiran, Ah Ho, Jia, dan ramai yang lain.
Pengarangnya menyulam kisah waktu sekarang dengan zaman silam dengan baik, bersahaja serta tidak mendera pembaca untuk bertekun-tekun bagi memahamkan apa yang diceritakan.
Buku ini juga sesekali mengembalikan ingatan sesiapa yang pernah berkunjung ke Cameron Highlands dengan gambaran suasana di tanah tinggi yang kadang-kadang dingin, kadang-kadang berbahang itu.
Ia berbeza daripada buku-buku lain yang ditulis oleh Mohamad Kholid, atau pelbagai anekdotnya yang selalu menggeletek perasaan di media sosial.
Jika ada memiliki ahli keluarga yang OKU, buku ini juga akan terasa amat dekat dengan pengalaman yang mencabar itu.
Menurut Mohamad Kholid, Kelekati Pun Bersayap ini dihasilkannya berdasarkan kepada kisah benar. Justeru tidak menghairankan apabila penceritaan dalam buku itu berlangsung dengan lancar, tidak dibuat-buat dan tanpa dipaksa-paksa.
Ia seolah-olah mengalir dalam dingin kabus Cameron Highlands yang semakin menipis.
- Judul: Kelekati Pun Bersayap
- Pengarang: Mohamad Kholid Hamzah
- Penerbit: Galeri Bunga Rampai Hulu Selangor
- Tahun: 2021
- Tebal: 126 muka surat
- Harga: RM20
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai