Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ikram mohon maaf siar filem pendek sentuh sensitiviti kaum

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) memohon maaf susulan filem pendek Mak, Dah Siap! yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum selepas ia dimuat naik pada 22 Ogos lalu.

NGO itu dalam kenyataannya berkata, tujuan asal filem pendek itu dihasilkan adalah untuk mendidik semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat negara ini sejak kecil.

“Ikram mengambil maklum berkenaan komen-komen positif dan negatif daripada netizen serta pihak tertentu berkenaan filem pendek bertajuk Mak, Dah Siap! yang dimuat naik pada 22 Ogos yang lalu.

“Filem pendek Mak, Dah Siap! adalah sebahagian daripada produk penerbitan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2021 yang dianjurkan dengan tema #MerdekaBersama.

“Mesej utama yang ingin disampaikan dalam video itu ialah untuk menunjukkan realiti semasa sebahagian anggota masyarakat di Malaysia yang cenderung memberikan gelaran kepada bangsa lain dengan melabelkan bangsa tersebut dengan sesuatu perbuatan atau tindak-tanduk negatif,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, filem pendek tular yang dimuat di platform seperti YouTube, Instagram dan Facebook itu mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak yang berpendapat ia tidak wajar disiarkan untuk tontonan umum.

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) pula memberitahu Malaysiakini mereka membantah sekeras-kerasnya kaedah penyampaian filem pemdek itu kerana dirasakan tidak rasional.

Selain FDAM, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) turut menyuarakan bantahan. Presiden PFM, Pansha, berpendapat susunan iklan yang kurang tepat membawa pelbagai kefahaman tidak disenangi oleh segelintir rakyat Malaysia. 

Kata Ikram mereka berpendapat stereotip ungkapan berbaur perkauman perlu dihentikan, apatah lagi jika ia mula dipelajari sejak di awal usia seseorang.

“Sebagai anggota masyarakat, ibu bapa khususnya, kita hendaklah sentiasa menunjukkan contoh teladan yang baik dan mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Kat Ikram mereka juga sudah menarik balik filem pendek tersebut yang disiarkan melalui platform media sosial dikendalikan pihaknya semalam.

“Sebagai sebuah pertubuhan dakwah dan kebajikan, Ikram sentiasa berusaha untuk menyampaikan mesej dan nasihat yang baik kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.