Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Naim kecam golongan antivaksin 'tak tahu malu'

Meskipun menyedari pilihan untuk menerima vaksin Covid-19 adalah hak individu, Naim Daniel tetap mengecam golongan antivaksin yang dilihat sebenarnya membahayakan nyawa orang lain ketika mereka berada di tempat awam.

Kata penyanyi dan pelakon itu, golongan berkenaan dilihat boleh dianggap tidak bertanggungjawab apabila mahukan kelebihan sama seperti ditawarkan kepada penerima suntikan vaksin.

Seharusnya, kata Naim, individu yang berasa diri mereka tidak perlukan vaksin harus memikirkan keselamatan orang lain dan usah mementingkan diri sendiri saja.

“Memang semua orang ada pilihan dan hak masing-masing. Tapi jaga nyawa orang lain adalah sebahagian daripada common sense (pertimbangan akal budi).

“Tidakkah anda tahu pilihan anda boleh beri kesan pada diri sendiri dan orang lain?” katanya.

Terdahulu, Naim, 23, menciap di akaun Twitter miliknya: “Antivaksin, tapi nak nikmati faedah sama seperti orang ambil vaksin. Tak malu.”

Naim ditemui pada sidang media secara maya sempena Program Amal COVAiD #BaikSemula anjuran Media Prima Audio (MPA) semalam.

Tak patut ada keraguan

Program itu dijadual berlangsung pada 4 September ini bermula jam 12 tengah malam selama 24 jam dan disiarkan di akaun YouTube Hot FM, Hot TV.

Program amal berhibur sambil menderma itu bertujuan mengumpul dana untuk petugas barisan hadapan yang kini terus berjuang membantu rakyat Malaysia melawan Covid-19.

Pemilik nama penuh Muhammad Naim Daniel Baharin itu berkata demikian ketika diminta mengulas isu berkaitan “eksperimen sosial” dijalankan sepasang suami isteri bersama anak mereka di beberapa kedai makan serta makan di tempat tersebut walaupun tidak mendapatkan vaksin Covid-19.

Kejadian itu dirakam dan kemudian dimuat naik ke platform media sosial bertujuan memperlekehkan syarat kelonggaran SOP kepada penerima lengkap dua dos vaksin.

Selain itu, pemilik akaun terbabit juga turut memuat naik kenyataan yang mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam.

Sementara itu polis Klang Selatan hari ini dilaporkan sudah menahan suspek berusia 35 dan 36 tahun terbabit susulan aduan orang ramai. 

Penyanyi Sumpah itu turut menekankan sepatutnya tiada lagi keraguan mengenai vaksin Covid-19 kerana fatwa mengenainya sudah dibuat pihak berkuasa agama kerana dianggap salah satu ikhtiar untuk kehidupan.

“Saya menyeru orang ramai untuk ambil vaksin demi mempercepat imuniti kelompok. Bukan dua bulan lagi dah, ni dah nak masuk dua tahun kita asyik berada dalam situasi (perintah kawalan pergerakan) sekarang.

“Vaksin untuk kebaikan sendiri kenapa nak tolak sesuatu ikhtiar untuk kita teruskan hidup lebih baik pada masa akan datang?” katanya.

Bagi Naim, gesaan dan kecaman dibuatnya itu cuma diluahkan atas dasar tanggungjawab kerana dia mempunyai ramai peminat dan pengikut di media sosial.

Katanya, sebagai seorang selebriti, dia mahu menjadi sebahagian daripada individu yang menyebar perkara-perkara positif kepada masyarakat.

“Saya tidak mahu jadi sekadar penghibur dan nak jalankan tanggungjawab kepada peminat dengan sampaikan apa yang saya tahu.

“Sebagai seseorang yang banyak mata memandang memang wajar saya jadikan pengaruh ni sebagai perantaraan untuk sebarkan perkara baik,” katanya.