FDAM: Iklan cuba cipta perpaduan dengan memangsakan kaum lain?
Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) membantah sekeras-kerasnya kaedah penyampaian iklan sempena Bulan Kemerdekaan yang tular di media sosial bertajuk Mak, Dah Siap! kerana didakwa menyentuh sensitiviti kaum.
Presiden FDAM Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, kaedah penyampaian mesej tersirat cuba diketengahkan melalui media sosial itu didapati tidak rasional selain boleh mengancam perpaduan dan keharmonian negara.
“FDAM membantah sekeras-keras iklan berbaur rasis ni. Produksi yang membangunkan idea utama untuk iklan berkenaan seolah-olah cetek pemikiran.
“Mereka nak menolak isu perkauman tapi caranya tak kena kerana dalam dialog ada berbaur perkauman.
“Saya lihat memang mesejnya sangat tersirat, namun, matlamat tidak menghalalkan cara,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Iklan Mak, Dah Siap! bagi mempromosi Kempen Bulan Kebangsaan 2021 itu dihasilkan oleh sebuah NGO iaitu Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan TV Ikram.
Selain itu, pada akhir iklan turut tertera logo Sinar Harian sebagai salah satu syarikat yang turut sama menjayakan iklan tersebut. Untuk rekod, iklan tersebut disiarkan di platform media sosial seperti Youtube, Instagram dan Facebook sejak 22 Ogos lalu.
Pada iklan itu, turut terdapat pesanan agar orang ramai tidak menggunakan perkataan perkauman seumpamanya, dengan mesej antiperkauman pada hujung video.
Bagaimanapun, iklan Mak, Dah Siap! itu tular dan mengundang rasa kurang senang segelintir pihak yang mempertikaikan kewajaran iklan sedemikian menjadi santapan umum apatah lagi sempena menyambut Bulan Kemerdekaan.
Pada masa sama, Mat London berkata, Mak, Dah Siap! cuba mencipta perpaduan tetapi dengan memangsakan kaum yang lain.
“Adakah wajar membina perpaduan atas keburukan kaum lain? Dialog yang memaparkan 'Cina bukit' dan 'Keling' adalah kalimah rasis yang bersejarah.
“Ungkapan itu amat menyedihkan dan sangat tidak sensitif,” katanya.
Selain FDAM, isu bantahan turut disuarakan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).
Presiden PFM, Pansha berkata, penyusunan iklan yang kurang tepat membawa pelbagai kefahaman tidak disenangi oleh segelintir rakyat Malaysia.
“Walaupun iklan berdurasi 59 saat tersebut mempunyai penafian dan hanya memberi contoh lakonan amalan yang tidak patut dilakukan. Keseluruhan kandungan iklan lebih menceritakan perkara rasis dari tidak mengamalkan rasis,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian dalam satu kenyataan memaklumkan, walaupun logo syarikat tersebut tertera pada akhir video, pihaknya mendakwa tidak terbabit sama dalam pembikinan Mak, Dah Siap!.
Pun begitu, menurut Sinar Harian, Ikram sememangnya salah satu syarikat NGO yang telah mendapat persetujuan untuk menjalin kerjasama dalam mempromosi Kempen Bulan Kebangsaan 2021.
“Sinar Harian tidak terlibat dalam penghasilan dan penerbitan video yang menimbulkan rasa kurang senang dalam sesetengah masyarakat Malaysia.
“Kami di Sinar Harian memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan salah faham mengenai video yang diterbitkan oleh pihak ketiga,” katanya.
Ketua Jabatan Penyiaran dan Komunikasi Ikram, Siti Hamisah Manan pula memaklumkan, Mak, Dah Siap! sudah diturunkan semalam.
“Ya, pihak kami sudah turunkan dari Youtube, Instagram dan Facebook. Dah tarik semua demi kemaslahatan semalam pada jam 6.30 petang,” katanya ringkas.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai