Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lantik menteri yang ambil tahu isu dibangkitkan persatuan - Mat London

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) berharap ketika berdepan cabaran pandemik Covid-19 yang masih berleluasa, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut memberi fokus pada isu dalam industri kreatif dan perfileman tanah air.

Justeru, kata Presiden, Mat London, FDAM bersama Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mencadangkan individu yang akan dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baru mempunyai ciri pemimpin mesra rakyat.

“Ia antaranya memahami masalah penggiat seni secara komprehensif termasuk mengambil tahu isu dibangkitkan persatuan penggiat seni tanah air,” katanya.

Hari ini, Ismail Sabri, 61, memulakan tugasnya secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya. Dia mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kesembilan, pada 21 Ogos lalu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, Mat London atau nama asalnya Ahmad Ibrahim berkata, nasib dan kebajikan penggiat seni gagal diperjuangkan jika Menteri Komunikasi dan Multimedia sendiri tidak mengambil peduli pada isu yang dibangkitkan persatuan penggiat seni tanah air.

“Untuk pengetahuan perdana menteri, masih ramai penggiat seni yang menderita ketika ini iaitu hidup susah kerana tidak dapat bekerja akibat prosedur operasi standard yang membataskan penggambaran projek baru diteruskan terutama bagi kawasan di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa 1,” katanya.