Remy: Ezza, wanita setia bersama walau ketika susah
Tanpa ragu-ragu lagi, pelakon Remy Ishak mengakui Ezza Yusof wanita paling tepat untuk dijadikan suri hatinya selepas komitmen ditunjukkan wanita itu selama lapan tahun perkenalan mereka.
Katanya, dia kini bersedia melangkah ke fasa lebih jauh bersama Ezza atau nama sebenarnya Roszaliza Yusof dengan ikatan yang sah.
Menurut Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, sepanjang tempoh itu, hanya Ezza yang setia berada disisinya dalam susah mahupun senang.
Katanya, lagi, sepanjang 8 tahun perjalanan perhubungan mereka, dia sering bercakap pada diri bahawa inginkan seseorang yang memahami dan mengenali dirinya.
“Bukan hanya kenal sebagai Remy Ishak tetapi Mohammad Zalimie Ishak. Sepanjang mengenali dia, pelbagai pahit dan manis sudah kami lalui.
“Jatuh dan bangun saya, dia selalu ada di situ. Walaupun kami pernah bertunang dan kemudiannya putus, tapi tu lah, bak kata orang tua, kalau dah jodoh tak ke mana. Dari situ saya nampak Ezza adalah wanita yang setia.
“Pada tahun kelapan perhubungan kami, selepas ditimbang tara, she’s the one (dialah orangnya),” katanya.
Remy, 39, berkata demikian pada satu sidang media diadakan secara maya hari ini.
Pelakon Pujaan Hati Kanda itu juga mengakui ketika hubungan mereka terhenti di tengah jalan, dia pernah cuba mengenali wanita lain, namun perhubungan itu tidak berhasil.
“Memang tak dinafikan, lepas putus tunang, saya cuba kenali orang lain, tapi tak boleh pergi jauh. Bukan sebab tak boleh lupakan dia, ada sebab ia tak dapat diteruskan.
“Namun pada masa sama, saya masih selalu hubungi Ezza, dia pula sentiasa ada di situ bila saya memerlukan,” katanya.
Untuk rekod, Remy dan Ezza pernah mengikat tali pertunangan pada 2017, namun ikatan itu terlerai pada 2019.
Hubungan itu dikatakan kembali pulih tahun ini selepas Remy dilihat meraikan hari jadi Ezza bersama kawan-kawan bekas tunangnya itu.
Berkongsi majlis pernikahannya yang dirancang berlangsung pagi esok, Remy berkata, dia amat bersyukur apabila impiannya untuk dinikahkan di masjid termakbul.
“Kami dah lama berbincang untuk mendirikan rumah tangga, iaitu sejak tahun lalu lagi. Dan selama tu juga beberapa kali tertangguh disebabkan perintah kawalan pergerakan.
“Kami juga dimaklumkan pejabat agama dah boleh bernikah di masjid tapi tak ada tetamu yang hadir.
"Apa pun saya bersyukur walaupun banyak perancangan tak dapat dilaksanakan. Saya harap semua dipermudahkan nanti,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai