Peguam anggap tuntutan Siti Nordiana bersifat ancaman
Peguam yang mewakili dua daripada lima defendan dalam saman dikemukakan Siti Nordiana berkata pihaknya yakin tuntutan yang dibuat penyanyi itu adalah satu bentuk ancaman dan ugutan undang-undang ke atas mereka.
Nurul Hafidzah Hassan - yang mewakili Pegawai Perhubungan Awam FMC, Sam Musyadzafar Samin atau Sam Samin; dan jurusolek Razidah Ahmad Senusi atau Aida G - juga menyifatkan ia sebagai satu tuduhan palsu.
“Kedua anak-anak guam menafikan segala dakwaan yang telah dikemukakan oleh pihak plaintif.
“Dakwaan yang diperihalkan oleh pihak plaintif adalah tidak tepat. Anak-anak guam menyangkal dakwaan yang mereka telah memfitnah plaintif dan pihak plaintif tidak berhak menuntut sebarang pampasan atau ganti rugi ke atas anak guam.
“Anak guam berpendapat bahawa semua dakwaan yang telah dinyatakan adalah palsu dan percaya bahawa saman ini adalah satu bentuk ancaman dan ugutan undang-undang ke atas mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiga lagi defendan iaitu penyanyi Syura Badron, pasangan suami isteri Lan Solo dan Sheila Hassim, diwakili peguam Alan Razak serta Muhammad Hafiz Hood.
Semua defendan sudah memfailkan memorandum kehadiran di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu.
Terdahulu, pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias itu meningkatkan nilai tuntutan samannya kepada RM500,000 setiap seorang selepas tiada sebarang permohonan maaf diterima dalam tempoh yang diberikan.
Penyanyi Cukup Derita Itu turut menuntut ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan lain-lain yang dirasakan sesuai melalui tuntutan tersebut.
Isu bermula selepas Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, dan Syura membuat dakwaan secara terbuka mengenai kemelut di antara mereka dan Siti Nordiana melalui sesi Instagram live pada 20 Julai lalu.
Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 34, pula mendakwa dia dimalukan Siti Nordiana dan pengurusnya itu hingga menyebabkan kerjayanya terjejas.
Nurul Hafidzah menyatakan tiada sebarang kenyataan atau percakapan dilakukan dengan niat jahat dan saman yang dibuat oleh Siti Nordiana tidak memenuhi piawaian undang-undang bagi kes saman fitnah.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai