Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malaysia tak hantar wakil ke Miss Universe 2021 di Israel

Organisasi Miss Universe Malaysia (Mumo) tidak akan menghantar wakil ke pertandingan ratu cantik Miss Universe 2021 selepas ia diumumkan akan berlangsung di Israel.

Mumo dalam kenyataan hari ini berkata, pertandingan bagi peringkat Malaysia untuk tahun ini juga dibatalkan kerana mengambil kira situasi semasa penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Kami ambil perhatian keputusan Organisasi Miss Universe untuk mengadakan edisi ke-70 di Eilat, Israel pada Disember depan.

“Malangnya, kerana situasi Covid-19 semakin memburuk yang sekali gus mengehadkan perjalanan antarabangsa dan domestik, kami tidak boleh menganjurkan Miss Universe Malaysia 2021.

“Oleh demikian, kami menolak jemputan untuk pertandingan tahun ini,” kata kenyataan itu.

Pengumuman Organisasi Miss Universe untuk mengadakan pertandingan itu di Israel Pada 20 Julai lalu, mencetuskan pelbagai reaksi.

Jenayah antarabangsa yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin yang berlarutan berdekad lamanya dan kian mendapat bantahan masyarakat antarabangsa.

Pada masa sama, Malaysia juga tidak menjalinkan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

Mumo juga berkata, organisasi itu akan menghantar perwakilan untuk pertandingan seterusnya di masa akan datang.

“Kami mengucapkan selamat bertanding kepada semua delegasi pada pertandingan peringkat antarabangsa itu. Kami tidak sabar untuk kembali menyertainya pada masa hadapan,” kata pertubuhan itu lagi.