Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Caprice impikan Hishammuddin jadi PM

Di tengah-tengah ketidaktentuan politik, penyanyi Caprice muncul dengan soalan cepumas mengenai siapakah perdana menteri yang didambakan rakyat ketika ini.

Dalam bertanya itu, Caprice malam tadi menzahirkan harapannya agar Menteri Kanan Luar Negeri, Hishammuddin Hussein diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri ke-9.

“Bagitahu Caprice sekarang siapa kamu mahu jadi perdana menteri malaysia, Direct Message saya sekarang.

“@hishammuddinhussein akan jadi perdana menteri Malaysia,” katanya melalui Insta Story.

Menghuraikan alasan pemilihannya, kata pemilik nama penuh Ariz Ramli itu, Hishammuddin adalah tokoh paling dilihat "bersesuaian dengan agenda dunia".

Selain Hishammuddin, Caprice, 33, turut meletakkan harapan kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai calon pengganti Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Ramai tanya Caprice kenapa hang pilih Hishamuddin Hussein. Ia bukan apa yang kita pilih (tapi) ia berdasarkan jangkaan saya dan berdasarkan agenda dunia.

“Yang paling sesuai dengan agenda dunia ialah Hishamuddin atau Anwar Ibrahim. Kalau kita kaji siapa dia baru berjumpa atau siapa di belakang dia, apa dia buat baru-baru ini,” katanya.

Menguatkan kenyataannya itu, Caprice berkata, ia juga berdasarkan portfolio Hishammudin melalui akaun Instagram miliknya.

“Kalau lihat akaun media sosial Hishamuddin, ia sudah cukup ‘cantik’ untuk jadi perdana menteri,” katanya.

Caprice berkata, selain kedua-dua nama yang disebutkannya itu, satu lagi nama lain yang menjadi pilihannya berdasarkan senioriti adalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

“Kalau senior yang boleh terajui Malaysia adalah seseorang seperti Ku Li. Kalau bukan dia seseorang seperti Anwar Ibrahim atau Hishamuddin,” katanya lagi.