Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas anggota Big Bang, Seungri dipenjara 3 tahun

Bekas anggota kumpulan K-pop Big Bang, Seungri dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mengatur pelacuran dan perjudian di sebuah kelab malam di Gangnam.

Seungri dijatuhkan hukuman itu oleh mahkamah tentera pada Khamis.

Dia didapati bersalah terhadap sembilan pertuduhan ke atasnya. Seungri, 30 disabitkan kerana mengatur perkhidmatan seks untuk bakal pelabur dalam perniagaannya, menurut South China Morning Post.

Hakim Hwang Min-Je berkata, Seungri atau nama sebenarnya Lee Seung-Hyun, turut mencuri wang dari kelab malam terbabit untuk berjudi, khususnya di Las Vegas,

Hakim turut memerintahkan penyanyi itu membayar denda sebanyak RM4.23 juta.

“Sukar untuk menyatakan dia tidak tahu menahu tentang transaksi kewangan yang dibayar kepada wanita-wanita terbabit untuk seks.

"Kelihatan seperti dia menjalankan pelacuran secara sistematik...Jenayah mengkomersialkan seks melanggar norma budaya kita dan mendatangkan bahaya yang bukan sedikit kepada masyarakat," katanya seperti dipetik.

Sepanjang perbicaraan, Seungri menafikan semua pertuduhan yang dibaca ke atasnya.

Pada Julai lalu, pendakwa raya tentera dilapor berkata, selebriti itu tidak menunjukan sebarang tanda penyesalan serta menyalahkan orang lain walaupun dia mengaut keuntungan daripada jenayah dilakukannya.

Seungri memulakan kariernya seawal 2006 sebelum kumpulan itu mula mencipta nama dan dianggap sebagai artis Asia paling popular selepas itu.

Penyanyi berkenaan mula menjalankan khidmat ketenteraan pada tahun lepas selepas berundur daripada Big Bang susulan skandal kelab Burning Sun yang menggemparkan industri hiburan Korea Selatan.

Skandal itu melibatkan beberapa tuduhan ke atas selebriti, antaranya Joon-young dan Choi Jong-hoon dari FT Island’s yang dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan serangan seksual dan rogol.

Pengasas syarikat pengurusan Big Bang iaitu YG Entertainment, Yang Hyun-suk pula disiasat atas dakwaan pembabitannya dengan skandal Burning Sun serta beberapa tuduan lain.