Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Fendy Caliph Buskers ikhtiar persembahan secara maya jana pendapatan

Meskipun tidak sabar untuk memasuki kediaman baru, pemain drum Caliph Buskers, Fendy Adlun, berkata dia perlu berikhtiar terlebih dulu untuk terus menjana pendapatannya sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berlangsung.

Justeru, kata bapa tunggal yang juga OKU penglihatan itu, antara usaha untuk menyambung sumber pendapatannya adalah melalui showcase solo pertamanya, Mengharapkan Mu yang dijadual berlangsung jam 9 malam pada 21 Ogos ini.

“Saya tak boleh nak jana pendapatan secara konsisten. Dulu memang saya bergantung pada hiburan jalanan (busking) dan persembahan sebagai artis jemputan.

“Jika ada pun busking sebulan sekali seperti hari ni di pusat vaksin. Nak makan apa misal dapat RM100 sebulan?

“Alhamdulillah, kini ada juga pihak sudi tampil dan menawarkan peluang untuk membantu saya meneruskan showcase secara dalam talian," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Fendy seperti banyak pihak lain yang bergelut dari segi ekonomi susulan PKP, menghadapi kesukaran untuk meneruskan bayaran sewa rumahnya yang tinggi setiap bulan.

Lebih merunsingkan, duit simpanannya juga semakin susut berikutan tiada undangan baru untuk persembahan sejak lebih setahun lalu.

Untuk rekod, Fendy sebelum ini sudah tujuh tahun memohon rumah mampu milik tapi tidak berjaya.

Sudah beri persetujuan

Namun, pada 6 Ogos lalu hasratnya tercapai selepas Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menyerahkan dokumen untuk Program Perumahan Rakyat (PPR). 

Dia dan anaknya Nur Azalea Zafirah, 6, dijangka akan berpindah sedikit demi sedikit ke PPR di Taman Mulia, Bandar Tun Razak, selepas menerima kunci kediaman itu esok.

Kata Fendy, untuk menyaksikan Mengharapkan Mu, peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM10 melalui laman sesawang fendy.ubertickets.my.

“Pautan tiket itu sudah dibuka sejak 7 Ogos lalu. Peminat akan dihiburkan dengan lagu-lagu Caliph Buskers dan juga beberapa lagu yang saya hasilkan sendiri.

“Persembahan dijangka berlangsung sejam hingga satu setengah jam. Selain itu, peminat akan didengarkan dengan kisah-kisah kehidupan saya termasuk perjalanan perceraian yang berlaku.

“Ini juga ruang untuk peminat lebih mengenali saya,” katanya.

Ditanya mengenai sokongan anggota Caliph Buskers yang lain, Fendy mendakwa mereka tiada masalah dengan apa yang ingin dilakukannya itu.

“Mereka anggap ni rezeki masing-masing dan berikan persetujuan untuk saya guna lagu kumpulan itu,” katanya.