Saman RM2.5 juta: Lan Solo, Syura, belum diwakili peguam
Lima individu termasuk penyanyi Lan Solo dan Syura Badron yang disaman oleh Siti Nordiana masih tidak diwakili peguam.
Peguam plaintif Abang Azlan Abang Ariffin berkata, semasa pengurusan kes secara dalam talian di depan hakim Zulqarnain Hassan pada 9 Ogos, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan pihaknya memfailkan afidavit penyampaian.
Ia perlu difaikan sebagai bukti serahan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kelima-lima defendan.
“Ini kerana kelima-lima defendan terbabit masih tidak diwakili oleh peguam serta tiada kehadiran dan pernyataan pembelaan yang difailkan oleh defendan-defendan selepas writ saman dan pernyataan tuntutan diserahkan kepada kesemua defendan,” katanya.
Tiga individu lain yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman RM2.5 juta adalah isteri Lan, Nur Sheila Hassim, 36, Pegawai Perhubungan Awam FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42.
Abang Azlan turut menambah tarikh akhir untuk defendan memfailkan kehadiran adalah pada 17 Ogos ini.
Mahkamah selanjutnya menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh baru pengurusan kes tersebut.
“Tarikh pengurusan kes dalam talian yang baru adalah pada 23 Ogos ini jam 9 pagi dan untuk memaklumkan defendan-defendan mengenai tarikh baru pengurusan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dilaporkan Siti Nordiana Alias, 37, memfailkan saman ke atas lima individu terbabit atas dakwaan menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya di platform media sosial melalui sesi siaran langsung di Instagram pada 20 Julai.
Penyanyi dan pelakon itu menuntut pampasan RM500,000 setiap seorang.
Siti Nordiana memfailkan saman tersebut melalui Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Siti Nordiana turut menuntut ganti rugi am daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Lan bagi mendapatkan maklum balas.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai