Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Shuib akui berat tanggungjawab

Reda dengan pemergian isterinya, Siti Sarah Raisuddin, Shuib berjanji untuk menjadi ‘ibu’ dan bapa yang terbaik buat empat cahaya mata mereka.

Pun begitu, kata pelawak dan ahli perniagaan itu, cabarannya kini adalah untuk memahamkan anak-anak yang masih kecil mengenai ketiadaan ibu mereka selepas ini.

“Saya reda dengan pemergian isteri saya Siti Sarah Raisuddin. Tapi cabaran saya untuk memaklumkan anak kami mengenai ketiadaan ibu mereka selepas ni,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Shahmira Muhamad itu, Allahyarhamah juga bertarung nyawa demi menyelamatkan anak keempat mereka, Ayash Affan susulan dijangkiti Covid-19 sejak hujung bulan lalu.

Kata Shuib, 36, nama Ayash Affan itu sendiri dipilihnya kerana menurut pembacaan arwah, nama berkenaan mengenai seorang pejuang di Gaza.

“Arwah sempat hadiahkan saya dan anak menerusi kehadiran Ayash Affan yang dilahirkan 6 Ogos lalu.

“Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Namun ternyata, Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Shuib dan Siti Sarah berkahwin pada 27 Februari 2011. Selain Ayash Affan, tiga lagi cahaya mata pasangan tersebut ialah Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6 tahun.

Untuk rekod, Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan itu melalui pembedahan tanpa sedar, pada 6 Ogos lalu.

Siti Sarah, menghembuskan nafas terakhirnya pada usianya yang mencecah 36 tahun menjelang subuh hari ini di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). 

Pada 27 Ogos lalu, penyanyi Ku Sandarkan Pada Kenangan itu mengesahkan dia dan keluarganya positif Covid-19 susulan seorang pembantu mereka dijangkiti wabak berkenaan. 

Berkongsi lanjut, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad itu berkata, dia sempat membuat panggilan video buat kali terakhir bersama arwah isterinya yang sedang nazak di hospital malam tadi.

“Dengan bantuan jururawat dan doktor, saya membuat panggilan video untuk anak melihat keadaan ibu mereka.

“Ketika itu nampak juga air mata berlinangan di pipinya seolah-olah memahami apa yang saya dan anak bersembang mengenainya.

“Selepas itu, anak kami sudah tidur. Saya juga sempat ke hospital malam tadi selepas selesai sesi bacaan Yassin dan doa dianjurkan menerusi aplikasi Zoom Meeting.

“Bagaimanapun, saya tak dibenarkan bertemu dengannya dan berpatah balik ke rumah,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sg Pusu, Gombak kira-kira jam 1.38 tengah hari tadi selepas waktu Zohor.

Hanya petugas lengkap memakai PPE dilihat berada di bawah kawasan berbumbung hijau yang meneduhi liang lahad tempat jasad Allahyarham disemadikan.

Allahyarham disemadikan di tanah perkuburan yang sama dengan arwah ibunya.