Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Siti Sarah selamat lahirkan bayi lelaki

Penyanyi Siti Sarah Raisuddin selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul lima petang tadi.

Berita itu dikongsikan pengurusnya, Nana Mohd Rom dalam satu kenyataan yang dikongsikan sebentar tadi.

“Untuk makluman Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul lima petang tadi.

“Bagaimanapun Siti Sarah masih belum sedar. Mohon doa semua agar dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Terdahulu, Nana memaklumkan kepada Malaysiakini, doktor yang merawat dan memantau keadaan penyanyi tersebut akan melakukan satu pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungannya pada pukul dua petang tadi.

Sebelum itu, tahap oksigennya dilaporkan tidak stabil hingga terpaksa ditidurkan sewaktu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Kata Nana, ia bertujuan untuk menyelamatkan nyawa kedua-dua mereka.

Menurut Nana, keadaan isteri pelawak dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu itu juga dilaporkan baik selepas bacaan Yasin dilakukan tengah hari tadi.

“Terima kasih buat semua yang sudi meluangkan masa menyertai bacaan Yasin untuk kesejahteraan Siti Sarah tengah hari ini.

“Memang berat ujian yang perlu dihadapi oleh Shuib sekeluarga,” katanya.

Shuib dan Siti Sarah berkahwin pada 27 Feb 2011. Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.