Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Wahai menteri jaga Finas, jenguk-jenguklah ke bawah

ULASAN SENI | Saban hari Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menerima aduan daripada ahli-ahlinya dan ramai penggiat seni yang lain tentang kepayahan hidup yang dialami ketika menghadapi pandemik yang semakin menggila ini.

Hidup semakin sukar, tabung simpanan menuju habis tak bersisa, bantuan kerajaan hanyalah sekadar pengumuman RM100 juta untuk anak seni yang sehingga kini tiada bayangnya.

Kalau sekadar untuk makan minum memang tiada masalah. Berpuluh-puluh NGO tampil membantu. Tapi sekadar itu sajalah. Susu anak, lampin anak, pinjaman kereta atau motosikal, bil segala macam dan sewa rumah yang lama tertunggak membungkamkan mereka.

Di mana nak dicekau? Pekerja seni ini majoritinya adalah perkerja bebas. Maksudnya, ada kerja ada gaji, tak ada kerja tak ada gaji! Mereka juga tiada jaminan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada saat-saat genting sebegini, kami mengharapkan ada perhatian daripada pihak kerajaan, terutamanya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Tapi nampaknya Finas bukanlah agensi kerajaan yang memikirkan hal kebajikan anak seni. Mereka lebih sibuk mengatur kursus dan bengkel yang segala macam. Mereka lebih sibuk mencaturkan siapa yang layak dan tidak layak masuk myCAP.

Hal kebajikan bukan tugas kami, kata mereka.

Di kala ramai penggiat seni yang terkesan teruk dari segi ekonomi, sudah pastilah mereka tiada masa memikirkan tentang bengkel dan kursus itu. Mereka lebih risau memikirkan bila nak kena usir dari rumah sewa, dan kalau kena halau nak angkut anak bini ke mana?

Anak kecil yang dah lama menghisap air sirap dalam botol pula, bila akan mendapat merasai susu semula?

Tak gambarkan keadaan sebenar

Bayangkan, bantuan barangan dan agihan daging korban pun khabarnya Finas hanya beri kepada persatuan-persatuan di bawah myCAP saja. Itu pun ditaja oleh pihak lain.

Jadi agensi mana yang sebenarnya bertanggungjawab memanfaatkan RM100 juta untuk penggiat seni seperti yang diumumkan oleh perdana menteri itu?

Apakan para penggiat seni yang jumlahnya puluhan ribu ini perlu pergi ke baitulmal atau jabatan kebajikan masyarakat? Mereka ini semua adalah rakyat negara ini, yang sama-sama membangunkan Malaysia mengikut bidang masing-masing. Jangan pinggirkan mereka!

Sepatutnya dalam keadaan genting sebegini, agensi-agensi kerajaan - termasuk Finas - perlu membuka mata dan lebih berinisiatif untuk mendahulukan perkara yang lebih afdal sekarang, iaitu kebajikan kepada pekerja seni.

MyCAP kalau penting sangat pun, bolehlah ditangguhkan dahulu. Janganlah memberi alasan-alasan dangkal kononnya memberi bantuan kebajikan adalah menyalahi peraturan dan Akta Finas.

Kerajaan juga - khususnya menteri yang menjaga Finas - jenguk-jenguklah sikit ke bawah. Jangan main dengar saja laporan daripada pegawai-pegawai. Laporan selalunya cantik molek tetapi tidak menggambarkan situasi sebenar.

Kami di persatuan yang saban hari berinteraksi dengan ahli-ahli dan juga penggiat seni yang lain lebih mengetahui keadaan sebenar.

Separah mana keadaan insan seni ini kami lebih mengetahuinya kerana kami juga adalah sebahagian daripada mereka yang turut terkesan.

Sudahlah hal kebajikan tidak dihiraukan, perancangan untuk memulihkan keadaan insan seni ini yang entah bila boleh mula bekerja juga tidak ada.

Kalau sekadar kenyataan yang mereka memandang serius keadaan anak seni menghadapi pandemik ini tetapi tiada tindakan yang benar-benar membantu keluar dari kemelut ini, kenyataan hanyalah kenyataan.

Atau dengan lain perkataan ia sekadar retorik yang menghiburkan sejenak sebelum mata terpejam!


Ini adalah kenyataan yang dikeluarkan FDAM dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.