Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jennifer rela hilang kawan antivaksin dari buka ruang untuk Covid-19

Pelakon AS, Jennifer Aniston mengaku dia tidak akan memberi ruang untuk wabak Covid-19 menyusahkan hidupnya.

Untuk membuktikan kesungguhan itu aktres terbabit mendedahkan dia turut kehilangan beberapa rakan baik selepas mereka “enggan” atau “tidak mahu” mendedahkan status vaksinasi Covid-19 masing-masing.

Katanya, sangat penting untuk seseorang memberitahu maklumat berkenaan dan betapa pentingnya vaksinasi ketika pandemik ini.

“Terdapat sekumpulan besar manusia yang antivaksin atau tidak mahu mendengar fakta. Saya kehilangan beberapa orang dalam rutin mingguan yang enggan atau tidak mahu mendedahkan sama ada mereka sudah divaksin atau tidak. Sungguh menyedihkan.

“Saya berasakan, ia adalah sebahagian daripada moral atau tanggungjawab seseorang untuk memaklumkan hal tersebut kerana kita semua bukannya disaring setiap hari.

"Hal ini juga bukan mudah kerana semua orang berhak memberikan pendapat, namun kebanyakan pendapat itu tidak berdasarkan apa-apa melainkan ketakutan atau propaganda,” katanya dipetik Instyle.

Pada masa sama, Jennifer, 52, juga menggesa pengikut Instagram miliknya memakai pelitup muka pada kebanyakan masa memandangkan kes Covid-19 di AS semakin meningkat.

“Cadangan mudah ini dipolitikkan dengan mengorbankan nyawa manusia. Hal ini tidak sepatutnya menjadi perkara yang diperdebatkan," katanya.

Bintang drama siri Friends itu juga mendedahkan dia menerima suntikan kedua vaksin Covid-19 pada 7 Mei lalu.

Katanya, penduduk AS amat bertuah kerana mempunyai akses yang udah untuk mendapatkan vaksin.

“Tapi malangnya, hal itu bukan berlaku di semua negara. Dan seperti kita sedia maklum, kesihatan salah seorang daripada kita menjejaskan yang lain.

“Ia terutama apabila memikirkan mereka yang boleh atau tidak ada peluang untuk divaksinasi dan memeluk keluarga serta rakan-rakan mereka,” katanya.