Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pesanan 'orang lama': Artis kalau bergaduh jangan berlama-lama

Memaafkan dan berdamai apabila berada dalam konflik penting dan menjadi satu keperluan agar boleh kekal hidup harmoni dalam industri yang sememangnya kecil, kata penyanyi dan pelakon Zarul Husin.

Vokalis kumpulan Umbrella itu turut berpesan, selagi ada peluang untuk bermaaf-maafan, ambillah kerana tiada faedah membiarkan sesuatu isu dibiarkan menjadi perbalahan berterusan sesama artis.

“Sebagai orang lama dalam industri, saya nasihatkan, jangan dibiarkan sesama artis bergaduh terlalu lama.

“Industri kita ni kecil, pusing-pusing, ke situ juga dan akan berjumpa (orang yang sama) akhirnya nanti. Kita pun tak tahu entah esok lusa dapat hidup lagi atau tidak,” katanya.

Tidak menyebut nama mana-mana artis secara khusus, pemilik nama sebenar Zairulkefli Husin itu berkata, sesuatu perselisihan faham itu seeloknya dianggap sebagai asam garam kehidupan.

Bagi Zarul, 47, apa yang lebih penting dalam hidup seseorang ialah untuk tidak berterusan terperangkap dalam kemelut yang merugikan, dan belajar mengawal emosi.

“Mana yang terasa hati, lupakan saja perkara kecil tu. Kita manusia, biasalah jika ada tersalah pandang, kenalah beralah. Mungkin mereka juga ada yang terlepas pandang.

“Tapi anggaplah sesuatu perkara tu sudah asam garam dalam kehidupan, takkan nak ambil hati sampai dua tahun untuk satu-satu isu.

“Orang bagi najis, kita bagi bunga; pandai-pandailah terjemahkan sendiri,” katanya.

Besar hati dapat kolaborasi

Zarul berkata demikian pada sidang media mempromosi single solo terbarunya berjudul Sepenuh Hati yang diadakan secara maya semalam.

Lagu itu hasil ciptaan Ajai dan liriknya ditulis Iman Imran.

Ditanya sama ada dia pernah mengalami kemelut sesama rakan dalam industri dan membiarkan perkara itu berlanjutan, Zarul menjawab, tidak pernah.

“Saya jenis tak suka berdendam dengan sesiapa,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Sepenuh Hati, Zarul bersyukur kerana diberikan peluang pertama kali untuk menjalinkan kolaborasi bersama Ajai yang memang terkenal itu.

“Ajai seorang komposer yang tidak dinafikan bakat dan kehebatannya menghasilkan lagu, justeru memang saya amat berbesar hati dapat berkolaborasi dengannya,” katanya.

Pun begitu, menurut Zarul, dia tidak meletakkan harapan keterlaluan untuk lagu berkenaan dapat meraih anugerah sekiranya menerima pencalonan.

“Saya tak mahu letak harapan 100 peratus terlalu tinggi sedemikian sebab seolah-olah tak ikhlas dengan sesuatu karya. Nanti menyanyi sebab nak dapat anugerah saja.

“Harapan tu masih ada, tapi saya biasa letakkan diri di tengah-tengah (bersederhana), biarlah ikhlas untuk mempersembahkan sesuatu, itu lebih baik,” katanya.