Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Mengenang arwah Yusoff Mohamed

ULASAN SENI | Ada yang tulis Mat Yusoff Ismail, ada pula mencatatkannya sebagai Yusoff Mohamed. Majoriti berita melaporkan dia ialah pengarah Opah, tetapi ada pihak yang menangkis dan mendakwa drama bersiri popular itu bukan arahan Yusoff.

Ramai juga keliru kerana ada seorang lagi seniman tanah air yang membintangi drama Rumah Kedai dan filem Panas iaitu Yusof Mohamad.

Sebutan nama mereka memang sama tetapi ia melibatkan dua individu berbeza dan boleh dilihat pada ejaan nama mereka.

Apa yang pasti, kedua-dua insan itu ini sudah meninggal dunia. Yusof Mohamad pada Mei 2000 dan M Yusoff Mohamed pada 21 Julai semasa berusia 74 tahun. Arwah adalah salah seorang mangsa Covid-19.

Allahyarham memang mempunyai komplikasi penyakit lain termasuk kencing manis.

Pada setiap masa, fakta adalah suatu aspek yang sangat penting dalam menyatakan sesuatu. Kegagalan mengemukakan fakta tidak tepat akan memberi kesan yang besar. Pembaca akan membaca sejarah yang salah.

Pada era siber, ketidaktepatan fakta lebih mudah dielak jika seseorang penulis mempunyai sedikit inisiatif tambahan untuk membuat semakan susulan melalui pelbagai sumber yang ada.

Menuntut di luar negara

Barangkali Yusoff Mohamed bukan nama besar, lalu apa yang ditulis hanya memenuhi tuntutan kerja. Tapi kecil atau besar, sudah namanya pengarah, maka jasa Yusoff dalam industri perfileman tanah air tetap tercatat sama ada ketika dia berkhidmat di RTM ataupun semasa menjadi pengarah bebas.

Apatah lagi Yusoff merupakan antara pengasas juga bekas setiausaha Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), selain setiausaha Persatuan Penulis Skrip Malaysia (Swam).

Untuk mendapat fakta tepat mengenai Yusoff, saya menghubungi bekas rakan kerja dan penggiat seni tanah air seperti Rosnani Jamil, Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim (Mat London); Zohara Gany Bathusha (RTM), Yusoff Haslam, Norlia Ghani, Uji Rashid dan anak lelaki Yusoff sendiri iaitu Yusri.

Seniwati veteran Norlia Ghani yang memegang watak Joyah dalam Opah berkata dia tidak nampak kelibat Yusoff di lokasi siri itu, sebaliknya dalam satu lagi drama bersiri popular terbitan RTM berjudul Tok Perak.

“Dalam Opah penerbit popular Lola atau Zahora Ghani Batushah. Tetapi ketika saya berlakon Tok Perak, Yusoff ada, cuma dia bertindak sebagai penolong penerbit kepada Syed Alwi,” katanya.

Jika selama ini penggiat filem cuma mengetahui Jins Shamsuddin, Rosnani Jamil, Othman Hafsham dan pengkritik filem Mansor Puteh menimba ilmu perfileman di luar negara, ramai tidak sedar Yusoff pernah menuntut di Portland Community Collage, Oregon, pada awal 1980-an.

Ketika itu bukan mudah untuk anak tempatan belajar mendalami ilmu berkaitan filem di luar negara.

Tak pernah ambil hati

Zohara berkata dia tidak pasti sama ada Yusoff pernah mengarahkan drama bersiri Opah atau tidak. Opah itu ialah garapan kreativiti secara berkumpulan. Selain Zahora sendiri, ada sentuhan Husner Ahmad, Ngani Anuar, Zainal Asri, Lukman Kamari, Kamaruldin Hassan, Kamaruddin Ambak dan Mohd Zain Ibrahim.

“Setahu saya dia (Yusoff) tidak mengarah drama Opah. Mungkin ada satu dua siri Opah beliau arahkan yang saya terlepas pandang. Sungguhpun begitu Yusoff antara penerbit RTM ketika itu.

"Saya masih ingat dia melapor diri di bahagian drama selepas kembali dari AS,” katanya.

Menurut Zahora, biarpun ada sijil perfileman dari luar negara Yusoff tidak dapat bekerja tetap di RTM.

“Arwah memang belajar filem di AS tetapi syarat RTM ketika itu kena lulus BM (Bahasa Melayu). Di sinilah kekurangan Yusoff hinggakan kami suka usik dia sebagai orang Kelantan tak reti cakap Melayu.

"Dia tidak ambil hati dan kerana itulah dia beralih menjadi pengarah bebas drama swasta,” katanya.

Zohara Gany Bathusha

Sungguhpun begitu, kata Zohara, Yusoff sempat mengarah beberapa drama di RTM. Sentuhannya yang diingati ialah drama Guru Yahya dan siri PJ Holding serta drama swasta Haryati.

Guru Yahya ialah drama berkisar tentang guru ajaran sesat dan muncul berikutan penularan ajaran menyeleweng yang banyak ketika itu. Drama PJ Holding pula adalah adaptasi siri popular Hollywood, Dallas, manakala Haryati berdasarkan skrip Harun Hassan.

Pada pertengahan 1980-an Yusoff, Roslee Jalil dan Ida Farida dari Indonesia banyak mengarahkan drama keluaran Amir Communication. Saya yang bekerja di akhbar politik Mingguan Kota terbitan syarikat itu sempat berlakon satu drama arahan Yusoff. Turut membintangi drama berkenaan ialah Marlia Musa dan Raffie Huseein.

Ada sentuhan pada Mawar Putih

Produser Skop Productions, Yusof Haslam yang membintangi PJ Holding berkata pembikinan siri itu juga seperti Opah kerana membabitkan ramai pengarah. Selain Yusoff, ada Roslee Jalil dan Helen Abu.

Seniwati dan pengarah veteran, Rosnani Jamil pernah bekerjasama dengan Yusoff dalam persatuan dan filem menyifatkan dia adalah karyawan yang rajin dan menghormati orang.

“Ketika saya menjadi Presiden Swam dia menjadi setiausahanya. Kami banyak menghabiskan masa berbincang mengenai masa depan penulis skrip di tanah air kita.

“Ketika saya mengarahkan filem Mawar Putih dan anak saya Anwardi mengarahkan filem Kerja Kahwin, Yusoff antara tenaga belakang tabir yang banyak membatu kami.

"Saya terkilan kerana teringin jumpa dia untuk beri sedikit sumbangan, ternyata Allah menyayanginya,” katanya.

Sementara itu anak Yusoff iaitu Yusri berkata drama terakhir arahan ayahnya berjudul Azimah.

“Minat dan cinta bapa pada filem tidak berbelah bagi. Setahu saya beliau belajar ke AS dulu menggunakan wang sendiri dan sumbangan kawan-kawan.

"Biarpun status dia sebagai pengarah, tetapi jika ada pengarah lain minta dia jadi pembantu, dia akan bantu.

"Seingat saya bapa sempat menjadi pembantu untuk filem Azizah The Legend dan Layar Lara,” katanya.

Pemergian Yusoff dirasai FDAM yang mengadakan tahlil khas secara maya untuk dia pada malam Khamis lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, dua anak dan enam cucu. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Batu Caves.


ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima Bhd.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.