Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hanya penggambaran tertangguh akibat PKP dibenarkan pada Fasa 2 PPN

Hanya produksi drama, iklan dan dokumentari yang ditangguhkan penggambaran kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk meneruskan penggambaran pada Fasa 2.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata ia adalah antara syarat utama di bawah kelulusan Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi kelulusan untuk aktiviti penggambaran filem pada Fasa 2 PPN.

Saifuddin berkata syarat lain adalah aktiviti penggambaran hanya boleh dijalankan di negeri yang berada di status Fasa 2 dan melibatkan lokasi atau premis penggambaran luar studio sahaja.

“Produksi boleh menggunakan mana-mana lokasi atau premis dengan syarat ia mempunyai jarak zon penampan (buffer zone) daripada mana-mana kawasan penempatan serta perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Aktiviti penggambaran dilaksanakan dengan kaedah Protokol Gelembung Penggambaran (Prep) yang melibatkan jumlah tenaga produksi yang minima serta tidak dibenarkan keluar dari radius zon penggambaran sehingga tamat penggambaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru Saifuddin berkata setiap produksi mempunyai tempoh bertenang yang ditetapkan sebelum dibenarkan untuk sebarang penggambaran baru.

Dia berkata syarat lain termasuk penguatkuasaan aspek kawalan risiko dengan kebenaran hanya diberikan kepada tenaga produksi yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 serta menjalani saringan kesihatan sebelum, semasa dan selepas tamat penggambaran.

Saifuddin Abdullah

Selain itu pelantikan Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) oleh pihak produksi yang bertanggungjawab bagi pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan juga antara syarat di bawah kelulusan SPP Khas.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan melakukan sedikit perubahan ke atas SOP di bawah PPN bagi Fasa 1 dan Fasa 2, antaranya meluluskan pembukaan semula aktiviti penggambaran filem di luar studio dengan pematuhan SOP ketat pada Fasa 2.

Keputusan itu dibuat berikutan perkembangan positif kadar vaksinasi negara.

Saifuddin berkata keputusan berkenaan adalah antara usaha berterusan kerajaan merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif melalui daya saing pengeluaran produk dan peluang pekerjaan.

Katanya kelulusan untuk aktiviti penggambaran filem pada Fasa 2 adalah berpandukan kepada pelaksanaan syarat yang diperketatkan di bawah PREP yang akan dikawal selia oleh Finas.

“Inisiatif Prep ini juga adalah kawalan bersepadu aktiviti penggambaran yang bergerak dalam zon gelembung yang terasing, terkawal dan terhad melalui pematuhan syarat-syarat utama di bawah kelulusan SPP Khas FINAS,” katanya.

Dia juga menyeru syarikat produksi yang terlibat untuk sentiasa mematuhi semua syarat yang dinyatakan untuk mengelakkan sebarang implikasi perundangan, keselamatan dan kesihatan khususnya dalam usaha kerajaan memerangi wabak Covid-19.

Butiran lanjut mengenai SOP dan garis panduan itu boleh didapati menerusi laman sesawang www.kkmm.gov.my dan www.finas.gov.my.

-Bernama