Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Aru Koffin Kanser 'buang' rambut disimpan 26 tahun dek kecewa

Sebagai ekspresi kekecewaan terhadap proses kawalan jangkitan Covid-19 di negara ini, vokalis kumpulan Koffin Kanser, Aru, nekad menunjukkan protesnya.

Cara diambil Aru: memotong rambut dreadlocks yang ‘dibela’ selama 26 tahun.

Bagi Aru, sistem sedia ada di negara ini seolah-olah tidak berjalan seperti sepatutnya, selain bercelaru hingga menyebabkan penularan wabak berkenaan terus gagal dikekang.

“Pandemik Covid-19 jadi asbab yang buka hati saya untuk potong dreadlocks yang jadi aset untuk saya buat persembahan selama ni.

“Selain tu, saya amat kecewa dengan keadaan kita sekarang khususnya impak pandemik serta cara kita menangani wabak tak berjalan seperti sepatutnya menyebabkan situasi Covid-19 dalam negara semakin parah hari demi hari.

“Justeru, sebagai ekspresi spiritual peribadi saya terhadap keadaan ini saya memotong anugerah yang merupakan identiti kembara seni saya hampir tiga dekad,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam sebuah video dikongsikan kepada portal ini, Aru atau nama sebenarnya Piruzzaman Azizan, 56, itu dilihat memotong rambut dreadlocks sepanjang hampir 3 meter.

Sebahagian dari aksesori diri 

Aru yang juga vokalis kumpulan Republic of Brickfields itu memegang rambut yang telah dipotong dan di akhir rakaman kelihatan sedikit beremosi.

Menjelaskan perkara itu, Aru mengakui dia sebak.

“Mungkin bagi majoriti orang, memotong rambut adalah perkara normal, tetapi bagi saya rambut ni pastinya mempunyai nilai sentimental yang tinggi dan menjadi perakam perjalanan hidup saya.

“Ia bukan sekadar identiti, tapi tentunya sebahagian dari anggota badan saya selama 26 tahun,” katanya.

Menurut Aru, proses memotong rambut dreadlocks itu mengambil masa kira-kira 5 jam untuk diselesaikan.

“Ia tidak dipotong menggunakan gunting atau pisau sama sekali, sebaliknya diracik-racik dengan jari jemari sehingga gumpalan rambut tersebut terpisah dari kulit kepala satu persatu,” katanya.

Selain ekspresi terhadap keadaan mandom yang sedang melanda dunia ini, ketiadaan persembahan disebabkan kekangan Covid-19 juga menjadi punca Aru nekad memotong rambutnya itu.

“Jika dulu rambut dreadlocks ini menjadi sebahagian dari aksesori dalam setiap persembahan saya, kini tiada lagi keperluan tersebut.

"Hampir dua tahun tiada sebarang persembahan pentas dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru kerjayanya, Aru berkata, dia baru menyiapkan program Hiburan Dari Rumah di bawah inisiatif Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma).

Jelasnya, dia menyambut baik pengumuman inisiatif yang diberikan oleh kerajaan seperti pelbagai geran untuk warga seni asalkan ia sampai kepada individu yang betul dan layak, yang benar-benar memerlukan dana untuk meneruskan perjalanan seni, bukannya ke tangan oportunis yang menjadikan geran tersebut sebagai peluang mendapatkan sumber kewangan semata-mata.

Selain itu, menurutnya, dia juga sedang menyiapkan album solo yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu.

“Seni adalah perjuangan hidup saya, hingga hari ini saya tetap menggagahkan diri walau apa saja keadaan yang menimpa.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ni untuk menyeru rakan-rakan warga seni agar terus tabah menghadapi suasana pendemik ini dengan kekalkan semangat positif. Insya-Allah mentari akan kembali bersinar,” katanya.