Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pekerja seni terasa diperlaku seperti bukan warganegara

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyeru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) lebih peka keadaan semasa yang dilihat tidak memungkinkan Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) boleh dijayakan.

Presiden FDAM, Mat London, berkata ketika ini negara masih berdepan isu kesihatan serta kesengsaraan hidup ramai kerana kehilangan punca pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sekali gus menghentikan kegiatan ekonomi.

“Meskipun ia dijalankan sama ada secara hibrid atau maya sepenuhnya tetapi ia tetap memerlukan kos dari aspek penyediaan trofi, pengacara dan sebagainya.

"Justeru FDAM berasakan masanya tidak sesuai untuk penganjuran FFM31 ketika ini,” katanya.

Menurutnya, banyak syarikat penerbitan tempatan terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menampung kos operasi akibat kehilangan kontrak serta menanggung hutang dengan pembiaya dana.

Hal itu, katanya, secara tidak langsung menjejaskan peluang penggiat industri untuk berkarya dan bekerja.

“Dalam situasi serba payah dan genting ini Finas tidak seharusnya mengutamakan festival semata-mata sedangkan nasib pekerja seni terumbang-ambing tanpa sedikitpun bantuan, seolah-olah kami bukan warganegara dan tiada berjasa kepada negara.

“Apakah dalam situasi suram dan muram begini Finas lebih memikirkan untuk berpesta saja?” soalnya.

Minta MKN benar operasi

Justeru, kata Mat London - atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim - FDAM menyarankan Finas merangka program Pelan Pemulihan Industri Kreatif sejajar dengan Pelan Pemulihan Negara bagi mengekang pandemik Covid-19 serta memastikan penggiat industri dapat terus bergiat semula bagi merancakkan industri kreatif negara.

Untuk rekod, FDAM adalah pertubuhan terkini menyokong gesaan agar FFM31 ditunda buat sementara waktu.

Sebelum ini beberapa aktivis, selebriti danPersatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) juga berpendapat festival itu tidak sepatutnya diadakan sekarang.

Presiden PFM, Pansha, misalnya meminta acara berprestij itu ditangguhkan berikutan situasi semasa dan ramai penggiat seni terjejas akibat pandemik Covid-19.

Mat London berkata, FDAM berharap Finas dapat mengemukakan kertas cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar memberi kebenaran beroperasi untuk syarikat penerbitan filem dan program televisyen pada Fasa Ke-3 PPN pada sekitar Sept atau Okt depan.

Menurutnya, ia bertujuan memulihkan kembali kehidupan lebih 10,000 penggiat industri kreatif yang majoritinya adalah karyawan bebas (freelancer) berikutan mereka bukan saja tiada pendapatan lain malah tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“FDAM meminta Finas mengemukakan cadangan kepada MKN dan KKM melonggarkan syarat prosedur operasi standard (SOP) dengan memberi kebenaran kepada pasukan penerbitan merentas negeri dan membenarkan penggambaran di zon hijau seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sabah selewat-lewatnya pada hujung bulan Julai.

“KKM juga mestilah mempercepatkan program imunisasi berkelompok untuk kira-kira 9,000 orang pekerja filem, program televisyen dan iklan yang masih belum menerima jadual vaksinasi.

“FDAM turut mencadangkan agar program imunisasi untuk pekerja penerbitan dibuat dalam tiga fasa iaitu fasa pertama pada bulan ini, fasa kedua pada Ogos dan fasa ketiga pada Sept bagi membolehkan mereka memulakan atau menyambung kerja penggambaran yang terhenti berikutan pelaksanaan PKP 3.0,” katanya.

Mat London menjelaskan, FDAM tidak menafikan kepentingan festival sebagai satu usaha bagi merancakkan industri penerbitan filem.

Namun, katanya, dalam situasi sekarang, festival filem hanyalah hiasan semata-mata tanpa dapat dimanfaatkan oleh penggiat industri.

“Hidup insan seni yang 'ada kerja ada gaji' ini terus tertekan dan tidak akan selesai dengan festival filem saja.

"Kami ibarat sekumpulan tentera yang sudah tercedera, tanpa makanan dan tanpa sebutir peluru pun tetapi diarah ke medan perang!

“Sepatutnya Finas perlu memikirkan bagaimana dana yang ada ini dimanfaatkan ke arah yang lebih membantu mengisi perut kosong kami.

“Sekarang bukanlah masanya untuk berfestival. Para pemuka Finas yang sudah pastilah golongan cerdik pandai sepatutnya tahu, faham dan arif tentang perkara asas pengurusan. Utamakanlah perkara yang perlu didahulukan,” katanya.