Konsert maya artis tanah air sasar kutipan RM3 juta
Projek Bangsa Malaysia bakal menganjurkan program Derma Kilat Rakyat dalam usaha memerangi Covid-19 pada Sabtu ini secara langsung menerusi siaran Facebook live bermula jam 11 pagi dengan sasaran kutipan RM3 juta.
Menerusi hantaran di Facebook Projek Bangsa Malaysia, program itu akan dijalankan untuk beberapa jam tanpa henti dengan menampilkan barisan penghibur seperti Altimet, Bront Palarae, Douglas Lim serta jaguh sukan, aktivis, dan para penggerak masyarakat.
Hasil kutipan yang dikumpulkan akan diagihkan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang membekalkan bantuan dan keperluan asas kepada golongan memerlukan dan mereka yang terkesan akibat dampak Covid-19.
“Kita terkapai-kapai dalam usaha memerangi Covid-19, kegawatan ekonomi, dan para 'pemimpin' yang saling bertelagah dan tidak memperjuangkan nasib kita.
"Satu-satunya cara kita untuk keluar dari krisis ini adalah untuk bangkit dan sama-sama berjuang demi satu sama lain.
“Kita akan bangkit, berganding bahu, dan mengharungi perjuangan ini bersama - sebagai #BangsaMalaysia #BangkitMembantu,” memetik kenyataan itu.
Program itu juga akan menyajikan persembahan dan laporan lintas langsung #RakyatJagaRakyat untuk mengembalikan semula sinar harapan dan mengingatkan rakyat Malaysia tentang kekuatan luar biasa apabila rakyat saling membantu antara satu sama lain.
Projek Bangsa Malaysia sebelum ini menerbikan video berjudul “Frontliners Reveal Truth About the Covid-19 Crisis in Klang Valley Hospitals."
Video terbitan Projek Bangsa Malaysia itu disiarkan di Youtube 12 Julai lalu dan dalam masa semalaman mendapat 400,000 tontonan.
Ia memaparkan rakaman audio didakwa petugas barisan hadapan yang menggambarkan keadaan sebenar krisis kesihatan semasa.
Projek Bangsa Malaysia merupakan inisiatif Abim dan kumpulan belia Projek Wawasan Rakyat.
Inisiatif ini pada mulanya menganjurkan penstriman langsung pada 9 Julai lalu untuk petugas barisan hadapan perubatan di Lembah Klang menyuarakan kebimbangan mereka dan pengalaman peribadi mereka bekerja di lapangan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai