Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ifa Raziah dakwa dapat banyak tawaran vaksin Pfizer

Selepas mengundang perhatian ramai kerana isu memilih vaksin, pelakon dan pengacara Ifa Raziah kini mendakwa dia ditawarkan suntikan Pfizer-BioNTech oleh beberapa hospital swasta.

Kata Ifa, tawaran untuk mendapatkan suntikan berkenaan banyak diterimanya melalui aplikasi WhatsApp.

“Bertalu-talu Miss Diva (panggilan untuk Ifa) dapat WhatsApp. Ada beberapa hospital yang tawar untuk dapatkan suntikan vaksin Pfizer.

“Wow, hebat tak Miss Diva? Rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari,” katanya di Instagram.

Terdahulu, pemilik nama asal Saripah Raziah Mustapha itu sepatutnya mendapatkan vaksin Sinovac di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) 10 Julai lalu.

Tindakan penyanyi Ser Ser Ser itu memuat naik video dalam media sosial membatalkan janji temunya disebabkan kekeliruan dan salah faham yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mitec mencetus polemik di alam maya.

Dia kemudian tampil dengan kenyataan memohon vaksin Pfizer kerana mendakwa mempunyai alahan pada ubat tertentu, selain mahu memasuki Singapura untuk urusan perniagaan dan hasrat melakukan ibadah haji.

Pada masa sama, dakwa Ifa, 45, doktor peribadinya turut mencadangkan dia diberikan vaksin Pfizer berbanding jenama lain.

Ifa melalui hantaran berbeza di media sosial sebelum ini berpendapat dia berhak untuk memilih jenama vaksin yang ingin diberikan kepadanya.

Kata Ifa, selagi masih sedia disuntik, dia sepatutnya diberikan kelonggaran untuk membuat pilihan tersebut. 

“Kalau saya nak pilih (vaksin) Pfizer ke Sinovac ke, tak salah kan? Bukannya saya minta dadah.

“Yang penting saya nak ambil vaksin, bukannya nak menghasut orang lain supaya jangan ambil vaksin.

“Siapa yang nak kena cucuk atau tak nak kena cucuk, terpulanglah pada masing-masing empunya badan,” katanya.