Rayuan Rebecca: Wahai abah dan menteri hebat, tolong rasa apa rakyat rasa
Bekas pelakon Rebecca Nur Al Islam merayu kerajaan segera melakukan kuncitara (total lockdown) memandangkan hospital dalam negara kini boleh dikatakan dalam keadaan tenat susulan jangkitan Covid-19.
Rebecca yang gagal mengawal air matanya daripada tumpah berkata, dia sendiri mengalami detik-detik cemas apabila suaminya, Norazam Sulaiman, tiba-tiba mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan oksigen semalam.
Namun katanya, daripada 20 buah hospital swasta yang dihubungi di sekitar ibu negara dan Selangor, tiada satu pun sedia menerima kemasukan lagi susulan kepadatan pesakit.
Menurut Rebecca semua hospital swasta di Kuala Lumpur dan Selangor "tutup" dan tidak menerima pesakit menyebabkan dia benar-benar ketakutan melihat tahap oksigen Norazam yang terlalu rendah.
Jika ada hospital swasta yang menerima kemasukan pun, kata Rebecca, suaminya itu masih perlu menunggu giliran.
“Kepada kerajaan, kepada abah - Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - kepada menteri hebat, Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), saya mohon rasalah apa yang rakyat sedang rasa ketika ini.
“Saya rayu buatlah sekatan pergerakan penuh. Tak kisah jika semua orang susah, kerana realitinya memang semua orang pun sedang susah.
"Tutup semua kilang. Sesungguhnya penyakit ni sangat bahaya,” katanya di media sosial.
Tak tahan lihat suami menangis
Kenyataan itu diluahkan Rebecca, selepas beberapa hari dia berkongsi mengenai dirinya, suami, enam anak serta tiga pembantu rumah mereka yang disahkan positif Covid-19.
Cerita Rebecca, dia dan suaminya terpaksa menunggu dalam ambulans di tepi jalan selama dua jam untuk mencari tempat agar boleh dimasukkan ke mana-mana hospital swasta.
Katanya, ekoran bimbang dengan situasi semasa Covid-19, dia seboleh-bolehnya enggan Norazam dibawa ke mana-mana hospital kerajaan atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
“Saya ada kedegilan iaitu tak nak hantar suami ke hospital kerajaan kerana bimbang keadaannya akan bertambah teruk memandangkan situasi di hospital swasta sendiri pun sudah cukup menakutkan.
“Tiba tiba teringat seorang rakan ada memberitahu terdapat hotel di ibu negara yang menjadi pusat kuarantin risiko rendah swasta (PKRCS) kendalian klinik persendirian.
“Suami saya yang sedang dalam keadaan kritikal menerima bantuan oksigen namun doktor memaklumkan dia berada di tahap empat Covid-19,” katanya.
Menurut Rebecca, 35, dia bersyukur akhirnya menerima panggilan sebuah pusat perubatan swasta sekitar jam 10.30 malam tadi dan dimaklumkan kemasukan itu dibuat apabila ada pesakit Covid-19 lain yang dibenarkan keluar.
Ketika berada di wad kecemasan hospital terbabit, katanya, dia terharu melihat suaminya menangis dan memberitahu supaya tidak meninggalkannya.
“Saya sedih tengok suami menangis depan mata. Saya tak sampai hati melihat dia menangis dan minta jangan tinggalkan dia waktu tu.
“Tapi saya tak boleh menemani suami di hospital kerana dia ditempatkan di wad pemantauan ketat ekoran keadaannya yang berada di tahap empat atau lima.
“Selepas selesai hal suami, sebentar lagi saya akan dail 999 untuk bantu dua pembantu rumah pula yang perlu dibawa ke hospital akibat sesak nafas,” katanya yang merupakan satu-satunya individu sudah lengkap dua dos vaksin dalam rumah tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai