Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anak seni saling membantu dengan Apa Khabar Anak Seni

“Buat yang risau, yang rindu, yang susah, yang buntu, aku doakan ketenangan buat kamu dan kamu,” luah pelakon Sharifah Amani sambil mengiringi kenyataan itu dengan emoji hati sebagai tanda sokongan untuk kempen Apa Khabar Anak Seni.

Sharifah Amani berkata, saling bertanya khabar sesama penggiat seni yang lain kini ibarat amalan yang menjadi satu kewajiban ketika semua orang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Sejak kebelakangan ini menjadi tahun yang amat sukar buat kebanyakan kita.

"Justeru, pada saat begini, memang perlu kami bertanya khabar pada geng kita. How are you (Kamu apa khabar)?” katanya.

Pemilik nama penuh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya itu turut mengiringi hantaran tersebut dengan tanda pagar #ApaKhabarAnakSeni.

Bagi Sharifah Amani, 35, sejak kebelakangan ini ramai pihak yang terkesan, hal itu membuatkan dirinya ingin tampil membantu orang lain.

Malah katanya tindakan itu juga sedikit sebanyak turut membantu 'meringankan' apa yang dirasakannya.

“Ada yang boleh berkarya, ada (macam saya) payah sikit nak jumpa ilham. Tapi saya menyibukkan diri membantu mana yang saya boleh. Apabila bantu orang lain, saya rasa ringan.

“Saya percaya sebagai seorang anak seni, tugas kita lebih daripada hiburan saja.

"Kita abadikan kisah sekarang supaya suatu hari nanti generasi masa depan boleh belajar sesuatu daripadanya, mudah-mudahan,” katanya.

Kempen Apa Khabar Anak Seni merupakan satu inisiatif kumpulan Deligasi Anak Seni (DAS). Ia dimulakan malam semalam, antaranya bertujuan mengeratkan silaturrahim dan bertanya khabar kepada pekerja industri kreatif sewaktu Covid-19 masih mengancam semua orang.

Bagai tebing dengan aur

Kempen berkenaan ingin mengambil maklum tentang keadaan mental, emosi, kewangan, juga kehidupan semasa pekerja industri kreatif dan bagaimana mereka boleh menggunakan kemahiran masing-masing.

Pelakon Beto Kusyairy pula menciap penuh makna mengalu-alukan mana-mana penggiat seni yang dalam kesusahan untuk berkongsi keperitan dialami mereka.

Kata pemilik nama asal Nurkusyairy Zakuan Osman itu, apabila ada tangan yang menggapai, pasti akan ada yang sudi menyambutnya.

“Kepada anak-anak seni, di depan mahupun sebalik tabir, andai sedang sesak dan lemas, gapailah tanganmu. Kerana ada dalam kalangan kita yang akan menyambutnya,” tulisnya di Twitter.

Pelakon baru, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar atau Nadhir Nasar turut tampil menunjukkan sokongan moralnya terhadap kempen Apa Khabar Anak Seni itu.

“Semoga kalian pekerja Industri kreatif sihat. Insya-Allah sama-sama kita ambil inisiatif ini untuk bertanya khabar.

“Yang dibaja harapnya subur, makin hari penglihatan pula kabur, tetapi bagai tebing dan juga aur, kita jaga kita sebagai penghibur,” ciap Nadhir.

Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha, juga menyambut baik kempen tersebut dengan mula bertanya khabar kepada penggiat seni yang lain.

“Pada masa industri kreatif perlu diberhentikan atau ditutup sementara sewaktu lockdown dan pandemik ini, rata-rata kita juga tak dapat bekerja.

“Tiada persembahan, tiada penggambaran, tiada produksi. Perkongsian ini bertujuan untuk tanya khabar, kalian buat apa semasa lockdown ini? Jom kongsi,” katanya.

Sebagai anak seni, dia kini menggunakan kreativiti membuat penghasilan (content) di rumah sambil sibuk menulis lagu.

“Sejujurnya tersangat rindu untuk beraksi dan buat penggambaran. Melantunkan tenaga kreatif sesama anak seni.

"Kita doakan supaya satu hari kita boleh kembali berkarya,” katanya.