Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seniman bantu urusan pengebumian jenazah Benjy

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) membantu menguruskan urusan pengebumian jenzah pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy yang meninggal dunia di Medan, Indonesia, di hari ini.

Setiausaha Agung Seniman, Mohd Hafiz Mohd Nafiah, berkata Benjy meninggal dunia di Hospital Royal Prima, Medan dan akan dikebumikan esok.

"Seniman sedang berhubung rapat dengan pihak Konsulat General Malaysia di Medan Indonesia dan pihak Penjara Tanjung Gusta, Medan untuk pengurusan jenazah arwah Benjy.

"Setakat ini maklumat yang kami terima, jenazah kini telah menjalani pelbagai prosedur di hospital, namun disahkan tiada jangkitan Covid-19. Jenazah sudah dibawa ke RS Bhyangkara Brimob (Rumah Sakit di bawah pihak berkuasa Indonesia).

"Segala urusan jenazah akan akan dilakukan di situ sebelum dikebumikan esok di tanah perkuburan Tanjung Gusta, Medan, Indonesia sebelum Zohor waktu tempatan insya-Allah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu media melaporkan Benjy meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi kerana penyakit asma kronik.

Untuk rekod arwah ditahan pihak Kastam dan Eksais sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Medan, Indonesia pada 18 April 2017.

Pada tahun yang sama, Benjy dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu.

Mohd Hafiz berkata, Seniman juga berhubung rapat dengan pihak keluarga arwah, keluarga bersetuju untuk arwah Benjy dikebumikan di Medan, Indonesia.

"Disebabkan Benjy ada mewasiatkan supaya jika apa-apa berlaku kepada beliau maka semadikan beliau di Medan Indonesia. 

"Pengurusan jenazah arwah Benjy akan diuruskan oleh pihak Konsulat General Malaysia dan pihak Penjara Tanjung Gusta," katanya.