Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas anggota Rabbani meninggal dunia sebab Covid-19

Bekas anggota kumpulan Rabbani, Azizan Khalid yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kelmarin disahkan positif Covid-19.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, jenazah telah dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Dalam siang tadi.

“Pihak hospital sahkan punca kematian Allahyarham disebabkan Covid-19.

"Segala urusan kematian diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Azadan, terdahulu pihak keluarga arwah berhasrat untuk mengebumikan Azizan di kampung halamannya di Behrang, Perak.

Namun, katanya, lokasi itu didapati terlalu jauh.

“Allah permudahkan urusan jenazah dan pihak keluarga berlapang dada bersetuju untuk lakukan proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Dalam,” katanya.

Pada 8 Julai lalu, Malaysiakini melaporkan Azizan Khalid, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Azadan berkata dia dimaklumkan Allahyarham sebelum itu mengalami demam sejak lima hari lalu. 

Menurutnya, pengebumian dihadiri oleh beberapa rakan terdekat termasuk Mohd Baidul @ Ubaidullah atau Asri Ubai.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Dewi dan seorang anak perempuan Rania. Kedua-duanya juga menjalani ujian calitan dan dikuarantin selama 14 hari.