Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Selamat pergi along, semoga tenang di sana'

Suasana menjadi lebih hiba pada hari Azman Idris meninggal dunia apabila jenazahnya disembahyangkan oleh adiknya sendiri Shah Amirudin Idris.

Azman merupakan pemuzik dan penyanyi lagu Zuraida. Dia dilahirkan pada 23 Ogos 1960 dan menghembus nafas terakhirnya pada 5 Julai lalu akibat kanser prostat.

Ketika dihubungi, Shah berkata, biarpun Azman mempunyai anak lelaki yang menjadi imam di Masjid Abu Hurairah di Kampung Batu, dan bersedia menjadi imam sembahyang itu, dia sendiri tetap mahu melaksanakan tugas berkenaan.

Kata Shah dia ingin mengimamkan sembahyang jenazah abangnya sebagai salam perpisahan di antara mereka.

"Itulah kali pertama saya menjadi imam solat jenazah. Jasa Azman yang saya panggil along sangat besar kerana dia pencetus adik-beradik kami menceburi dunia muzik," katanya.

Shah ialah anak keempat daripada lapan beradik. Sehingga kini pun, katanya, masih kukuh terpahat di ingatannya era Azman berada di kemuncak dan sedikit sebanyak keluarga mereka terkena tempiasnya.

"Saya bersekolah darjah lima ketika itu. Di sekolah, kawan-kawan suka usik saya adik penyanyi Zuraida, malah ada juga dua tiga artis terkenal datang rumah kami di Jalan Batu mencari Azman," katanya.

Menyorot kenangan hujung 1970-an, lagu Musliha nyanyian Othman Hamzah memang cukup 'berhantu' hinggakan menjadi siulan remaja.

Bersaing dengan Musliha

Juruhebah radio RTM pula kerap keudarakan lagu penyanyi dari Singapura itu dan ia melebarkan lagi dominasi penghibur dari republik berkenaan di negara ini.

Ketika itu dunia seni suara Malaysia turut dimeriahkan oleh selebriti seperti Black Dog Bone, Flybaits, Rahimah Rahim, Halil Chik dan Sweet Charity.

Tatkala fenomena Musliha menjalar, lagu Zuraida nyanyian Azman mencelah pada 1979. Kehadiran Azman yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Selangor mengimbangi populariti Othman.

Azman ketika itu baru berusia 19 tahun.

Zuraida adalah ciptaan Jamal Abdullah dan keluaran Happy Record. Ia dinyanyikan Azman dengan bersahaja dan tenang. Selang beberapa bulan kemudian muncul lagu Siti Rohani nyanyian Ezri Rahman.

Pada 1980, syarikat rakaman EMI pula mempertaruhkan penyanyi barunya, Aman Shah. Selepas itu muncul pula Rahim Maarof dengan lagu Lizawati ciptaan Osman Ghani pada 1982.

Bagaimanapun lagu Zuraida bukan sahaja dapat memberi cabaran pada Musliha malah duduk lama dalam carta bersama lagu paling popular era itu, Rindu Bayangan dari kumpulan Carefree.

Zuraida diberi nafas baru oleh Nassier Wahab dalam album kompilasinya Terlajak Laris (1985-2014) dan Oja (Tribute To Azman Idris).

Selain Zuraida, lagu nyanyian Azman yang turut popular ialah Bukan Hidup Hanyalah Sekali, Sayangku, Gadis Gedit, Dalam Hati Semadi Cinta Murni, Port Dickson dan Salam Rindu Aidilfitri.

Biar pun raut wajahnya persis aktor terkenal Indonesia, Roy Marten, tetapi Azman tidak cenderung berlakon. Pada zaman kemuncaknya, Azman bukanlah artis yang kontroversi, cuma pernah digosipkan dengan penyanyi Nooradila Nasir yang popular dengan lagu Ahli Bomba.

Berbanding penyanyi solo lain yang kebanyakannya cuma tahu menyanyi sahaja, Azman pula banyak bergiat di belakang tabir sebagai pemuzik di hotel dan kelab. 'Pentas' terakhir Azman ialah Kelab Monrods di Kulim.

Menurut Shah, sumber pendapatan abangnya itu hanyalah dari kegiatan. Justeru, katanya, apabila Azman mula terlantar dia bersimpati melihat abangnya seperti 'mati kutu' tidak dapat meneruskan aktiviti untuk menyara keluarganya.

"Syukurlah ada beberapa pihak turut membantu meringankan bebanan Azman seperti penguasa Manrods iaitu Roslan yang beri sumbangan RM500 setiap bulan untuk Azman," katanya.

Melalui hantaran di Facebook semalam, Shah berkongsi gambar dan rasa sedih dengan catatan: "Selamat pergi along. Semoga tenang di sana. Walau hilang di mata, di hati terkenang jua."


ADAM SALLEH ialah bekas pengarang berita akhbar terbitan kumpulan Media Prima.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.