Dapatkan bantuan jika tertekan, emosi terganggu - Deja Moss
Menyedari kes bunuh diri meningkat ketika negara ‘berperang’ menentang Covid-19, penyanyi Deja Moss menyeru orang ramai yang berdepan masalah kemurungan agar tidak berlengah mendapatkan bantuan psikiatri.
Katanya, dia - yang pernah beberapa kali 'terbabas' dalam tindakan sebelum ini - memahami tekanan hidup dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh meningkatkan tahap kemurungan seseorang.
Menurut Deja, justeru dia ingin berkongsi cerita mengenai sisi gelap kehidupannya sewaktu mengalami kemurungan kerana yakin boleh dijadikan iktibar agar orang ramai tidak memilih jalan keluar yang memudaratkan.
“Saya seru dan cadangkan mereka pergi dapatkan bantuan dari sudut mental dan fizikal. Jika biarkan ia lebih lama sebab takut nanti timbul perasaan yang bukan-bukan.
“Kadang-kadang ada juga orang yang malu untuk kongsikan kerana takut dilabel tak waras, tapi berjumpa dan bertanyalah pada yang pakar atau cuba luahkan pada rakan-rakan yang boleh membantu,” katanya.
Selain itu, kata Deja, seseorang yang berdepan tekanan emosi seeloknya bermuhasabah serta memperbaiki hubungan dengan Tuhan bagi mendapatkan penyelesaian yang diharapkan.
“Pada masa sama, cuba kuatkan kembali hubungan dengan pencipta, insya-Allah, ia boleh memperbaiki semua perkara walau apa jua situasi yang anda depani. Saya percaya begitu,” katanya.
Jangan cepat mengalah
Deja atau nama penuhnya Sharifah Hadijah Wan Moss berkata demikian pada sesi pelancaran buku autobiografinya yang berjudul Hidupku Takdirku yang diadakan secara maya baru-baru ini.
Cerita penyanyi Menepis Rawan itu, dia mengalami kemurungan selama empat tahun bermula 2004 dan situasi itu mengakibatkannya mengalami kesukaran untuk tidur serta perlu bergantung pada ubat-ubatan setiap hari.
Tahap kesihatan mentalnya merosot berulang kembali selepas tempoh itu apabila bercerai dengan suami pertama, Azfendy Azzuddin, pada 2018.
“Saya perlu bergantung ubat tidur untuk melelapkan mata. Kemurungan berlaku sebelum berkahwin disebabkan saya kesunyian serta ada masalah kewangan.
“Perkara paling teruk hampir berlaku adalah saya ada keinginan untuk membunuh diri. Sampai saya hubungi mak dan bagitahu saya dah tak nak hidup. Mak saya menangis.
“Selepas bercerai, kemurungan tu datang lagi, tapi tak lama seperti kejadian pertama. Untuk kali kedua saya dah tahu bagaimana nak atasi masalah tersebut dengan berjumpa pakar,” katanya.
Untuk rekod, Deja, 47, berkahwin dengan Maher Khani - seorang ahli perniagaan - dua tahun lalu.
Namun Deja bersyukur dia berjaya keluar daripada belenggu kemurungan dan mampu menjalani kehidupan normal kerana tidak malu untuk berkongsi masa silamnya bagi mendapatkan bantuan.
“Dulu saya juga malu untuk kongsikan pada sesiapa kerana tak ada pengetahuan berkenaan kesihatan mental.
“Alhamdulillah, sekarang memang tiada lagi masalah kemurungan. Saya betul-betul dah OK dan masyarakat di luar sana yang berdepan ujian getir jangan cepat mengalah dengan dugaan hidup,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai