Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Finas serbu premis buat penggambaran

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini menyerbu sebuah premis di Sunway Velocity Cheras di Kuala Lumpur, menurut ketua pegawai eksekutifnya Ahmad Idham Ahmad Nazri.

Ahmad Idham berkata, serbuan oleh Unit Penguatkuasa Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas itu dibuat selepas didapati berlaku kegiatan penggambaran yang masih dilarang ketika fasa pertama Pelan Pemulihan Negara.

“Finas ingin mengingatkan kepada semua syarikat produksi untuk terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, dia berkata tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas pihak berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 22 (1) Akta Finas 1981 (Akta 244).

Menurut Ahmad Idham lagi, Finas juga komited untuk bertindak lebih agresif dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP.

“Pihak Finas mengalu-alukan sebarang aduan daripada masyarakat awam untuk melaporkan kepada agensi ini sekiranya mendapati berlaku pelanggaran SOP melibatkan aktiviti penggambaran,” katanya lagi.