Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kebenaran penggambaran mungkin sukar disebabkan Covid-19

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, berharap aktiviti penggambaran akan dibenarkan apabila negara mula memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, pihaknya terlebih dulu sudah mengemukakan rayuan penggiat seni kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, menurut ahli parlimen Indera Mahkota itu, kelulusan mungkin agak sukar untuk diperolehi memandangkan ketika ini PPN baru berada di fasa pertama.

“Mudah-mudahan apabila masuk fasa kedua atau ketiga, pada masa tu kita dah dapat kebenaran untuk penggambaran.

“Walaupun mungkin kebenaran itu terhad (tapi) tidak mengapa, asalkan penggiat seni dibenarkan untuk melakukan penggambaran,” katanya pada sesi pemakluman penerima surat tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) yang diadakan secara maya hari ini.

Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai bagaimana DKD boleh memberi manfaat sedangkan aktiviti berkaitan termasuk penggambaran tidak dibenarkan susulan penguatkuasaan fasa pertama PPN.

Untuk rekod, fasa pertama PPN akan terus dilaksanakan sehingga kerajaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan.

Pada masa sama Saifuddin berkata, walaupun penggambaran belum dibenarkan, penerima DKD boleh memulakan kerja praproduksi seperti menghasilkan skrip atau menganjurkan sesi uji bakat dalam talian.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh membuat perancangan dengan duit itu, apabila dah boleh beroperasi mereka tak perlu lagi tunggu.

“Dalam hal ini, kita optimistik dan proaktif keluarkan dana dulu untuk dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, mengulas DKD muzik bernilai RM6 juta kepada 960 penggiat tanah air bagi menghasilkan program Hiburan Dari Rumah (HDR) 2021, Saifuddin berkata, dia mengambil maklum bahawa ketika ini tiada sebarang aktiviti persembahan boleh dilakukan.

“Banyak produksi muzik dan penyanyi masih tak boleh buat persembahan secara langsung, tu sebab kita edarkan DKD Muzik untuk mereka terbitkan video muzik supaya kita boleh tayangkan.

“Namun timbul juga persoalan nak tayangkan di mana? Bagi saya tak kisah, janji ada produksi, apabila kita ada peluang, kita akan carikan slot tayangan tu di mana-mana nanti,” katanya.