Seniman hantar isyarat SOS kepada kerajaan
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menjangkakan industri kreatif akan kian nazak jika ia terus dilarang beroperasi bulan depan.
Setiausaha Agung Seniman, Mohd Hafiz Mohd Nafiah dalam satu kenyataan berkata, segala peruntukan yang diberikan oleh kerajaan dalam pakej-pakej sebelum ini tidak bermakna sekiranya penggiat seni masih tidak dibenarkan menjalankan aktiviti mereka.
“Jika dilihat semula Pelan Pemulihan Negara (PPN), industri kreatif dijangka kembali beroperasi pada fasa ketiga nanti selepas kes-kes jangkitan covid-19 berkurangan di bawah nilai ambang 500 kes sehari. Pada jangkaan PPN ia sekitar bulan Oktober 2021 nanti.
“Untuk pengetahuan kerajaan, industri kreatif sudah tidak mampu lagi bertahan sekiranya kami tidak dibenarkan beroperasi dalam bulan Julai ini, segala peruntukan yang diberikan oleh kerajaan dalam pakej-pakej sebelum ini juga tidak bermakna sekiranya kami masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.
Menurutnya, sektor pengilangan dan pembinaan adalah penyumbang terbesar kes harian Covid-19 di Malaysia namun mereka masih dibenarkan untuk terus beroperasi.
Katanya, jika sektor berkenaan dibenarkan beroperasi mengapa industri kreatif tidak dibenarkan beroperasi sedangkan industri kreatif tidak pernah mencetuskan kluster-kluster yang melibatkan penggambaran setakat hari ini.
“Seniman percaya industri kreatif juga adalah sektor penting di Malaysia. Penggiat seni sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
“Kami sedia mematuhi segala garis panduan dan SOP yang telah digunapakai pada PKP 2.0 yang lepas tanpa sebarang masalah.
“Justeru, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin Seniman sekali lagi mengesa agar industri kreatif dibenarkan beroperasi pada bulan Julai ini bagi membolehkan kelangsungan hidup warga kerja industri kreatif yang amat terkesan memandangkan 90 peratus daripada kami adalah pekerja yang bekerja berdasarkan projek (job basis),” katanya.
Pada masa sama, Mohd Hafiz berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam berkenaan dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk industri seni dan kreatif Negara.
“Seniman akan memantau pelaksanaan agihan peruntukkan RM100 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk penggiat seni tanah air supaya ia sampai kepada mereka yang memerlukan dan secara tidak langsung dapat meringankan beban penggiat seni yang masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga hari ini,” katanya.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan bagi membantu lebih 8,000 penggiat seni yang kini terkesan dengan pandemik Covid-19, dan menyokong industri seni dan kreatif tempatan.
Menurut Muhyiddin, peruntukan itu bagi mengurangkan beban golongan berkenaan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).
Katanya, peruntukan itu antaranya meliputi insentif penghasilan karya dan kandungan digital; peluang kerjaya; program peningkatan kemahiran; caruman perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio serta penciptaan lagu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai