Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

RM100 juta bantuan, kemudahan pembiayaan kewangan buat penggiat seni

Kesukaran golongan seni di era pandemik Covid-19 mendapat perhatian Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada perutusan khas pakej rangsangan Pemulih hari ini.

Lantaran itu, Muhyiddin berkata kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi membantu industri seni dan kreatif tempatan

"Saya juga mendengar keluhan golongan karyawan, artis, pemuzik, pelakon, penggiat teater, penulis dan krew produksi yang turut terkesan ekoran syarat PKP yang tidak membenarkan mereka terlibat dalam aktiviti seni dan persembahan ketika ini.

"Maka, bagi membantu lebih lapan ribu penggiat seni dan terus menyokong industri seni dan kreatif tempatan, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan.

"Peruntukan ini antaranya meliputi insentif penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah Perkeso serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu," katanya.

Terdahulu, hari ini Muhyiddin mengumumkan satu lagi pakej bantuan bernilai RM150 bilion yang diberi nama "Pemulih", singkatan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi.

Ini pakej terbesar oleh kerajaan Perikatan Nasional sejak pakej Prihatin bernilai RM250 bilion yang diumumkan pada bulan Mac tahun lalu ketika negara mengalami kuncitara (lock down) buat pertama kali.

Pakej ini merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.