Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dolla nak bantu mereka yang memerlukan

Situasi semasa dalam negara ditambah dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 ternyata memberi kesan kepada banyak pihak.

Ia menyebabkan ramai kehilangan punca pendapatan, tidak kurang juga yang terpaksa mencari alternatif lain bagi menampung kehidupan seharian.

Justeru, kumpulan Dolla, tampil melalui program amal Live to Give, The Giving Bank X Dolla bagi mencari dan membantu empat individu yang berdepan kesempitan hidup disebabkan penularan Covid-19.

Program itu adalah kerjasama Dolla yang dianggotai Tabby, Sabronzo, Angel dan Syasya bersama NGO The Giving Bank (TGB).

Mewakili Dolla, Sabrina atau Sabronzo berkata, projek itu adalah peluang terbaik buat dirinya bersama tiga rakan kumpulan lain iaitu Tabby, Angel dan Syasya untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

“Sejujurnya, kami sangat gembira apabila dipilih pihak The Giving Bank untuk berkolaborasi dalam projek CSR ini. Saya berasakan ini sesuatu yang bagus yang mana ramai golongan memerlukan dalam keadaan negara kita yang masih dilanda penularan Covid-19.

“Daripada Dolla sendiri, ini adalah waktu tepat buat kami membantu mereka yang kurang bernasib baik. Diakui, kami pun tak selalu dapat peluang seperti ini. Jadi, kesempatan yang ada ini bakal digunakan sebaik mungkin.

“Sekurang-kurangnya dengan usaha yang dijalankan ini ia dapat membantu dan mengubah nasib mereka. Platform yang disediakan pihak The Giving Bank ini pastinya sangat bermanfaat untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdapat empat cara mudah untuk orang ramai terbabit dalam The Giving Bank X Dolla. Hanya dengan komen, mereka dapat membantu.

Langkah pertama adalah dengan mengikuti Instagram The Giving Bank. Kedua; tekan butang like pada hantaran dimuat naik, ketiga; mention nama individu yang dirasakan layak menerima bantuan dan terakhir, kongsikan hantaran dimuat naik TGB itu di Instagram Story.

Kena tempias pandemik

Menurut Sabronzo, Dolla turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama mereka mengenal pasti dan membantu golongan yang memerlukan.

“Di pihak Dolla, kami akan mencari empat individu yang layak menerima bantuan. Cuma, tugas peminat dan orang ramai pula adalah mereka juga boleh pergi ke ruangan komen dengan memberikan informasi mana-mana individu yang mereka tahu sedang memerlukan bantuan.

“Dari situ, mungkin pengguna laman sosial lain yang ingin turut serta dengan kami dalam program ini dapat menghulurkan bantuan. 

"Jadi, semakin ramai mereka yang memerlukan dapat diberikan bantuan,” katanya.

Sabronzo berkata, apa yang paling penting ketika ini adalah setiap orang perlu bersabar dan sentiasa kuatkan diri untuk terus bertahan.

“Diakui sudah lebih setahun kita berada dalam keadaan yang kurang stabil. Bukan saja orang biasa, tapi kami dalam industri seni juga terkena tempias sama.

“Cuma, Dolla bersyukur kerana sebelum ini ada beberapa projek. Tapi, bagi mereka yang terputus punca pendapatan sudah semestinya berasa risau dan mungkin dalam keadaan tekanan.

“Nasihat saya, harap semua boleh bersabar sikit lagi. Semoga dengan kesabaran yang ada membolehkan kita menjalankan aktiviti macam biasa suatu hari nanti.

“Bagi peniaga, mereka boleh berniaga macam biasa. Insya-Allah, kita boleh kembali normal,” katanya.