Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Membaca Hang Tuah sekali lagi

ULASAN BUKU | Membaca perihal Hang Tuah melalui lensa pemikiran Steven Sim sangat menyegarkan minda. Tajuknya saja sudah menggamit akal – Hang Tuah Adiwira Bangsa.

Hang Tuah amat sinonim sebagai adiwira masyarakat Melayu namun Sim tidak melanjutkan tajuk bukunya dengan ungkapan "Melayu" dan ia akan dihuraikan mengapa selepas ini.

Dalam memahami Hikayat Hang Tuah, Sim berinteraksi dengan SN Prof Dr Muhammad Haji Salleh dan Faisal Tehrani – yang juga penulis kata pengantar dan prakata bagi buku berkenaan.

Interaksi Sim dengan kedua-dua tokoh itu pastinya memberi perspektif yang lebih kaya memandangkan mereka bertentang pendapat dalam melihat Hang Tuah.

Sebagai ahli politik, wakil rakyat dan mantan timbalan menteri sudah tentu lensa pemikiran dan penulisan Sim bergelut dengan isu politik dan sosial. Sim menawarkan Hang Tuah sebagai simbol keharmonian dan perdamaian antara berbeza masyarakat di Malaysia. Tapi bagaimana?

Hang Tuah yang wujud dalam pemikiran Sim ialah archtype atau contoh ideal lelaki Melayu. Hikayat Hang Tuah mencerminkan pandangan sarwa masyarakat Melayu justeru ia wajar diangkat sebagai modus vivendi Bangsa Malaysia.

Di dalam buku itu ada dua perkara besar yang dibicarakan oleh Sim. Pertama tentang watak Hang Tuah itu sendiri. Yang kedua tentang Hikayat Hang Tuah serta segala kebijakan dalam karya epik tersebut.

Mahir pelbagai bahasa

Saya ulang penegasan saudara Sim bahawa kita bukan mahu menentukan sama ada Hang Tuah itu benar-benar wujud ataupun tidak, atau adakah nama dia Tuah atau Tuha, malah benarkah Hang Tuah berbangsa Cina.

Sebaliknya Hang Tuah Adiwira Bangsa menghurai watak Melayu yang ideal menurut karya-karya agung dari purbakala.

Mengaitkan Hang Tuah dengan istilah adiwira pasti membayangkan dia sebagai manusia super, namun pembicaraannya tidak terhenti sekadar kehebatan bersilat, kekuatan fizikal atau kesaktian saja.

Hang Tuah sebagai adiwira bangsa pada fikiran Sim ialah lelaki kosmopolitan yang mahir berbicara dalam 12 bahasa dan sering menjadi diplomat atau duta kerajaan Melaka ke kerajaan-kerajaan (kuasa-kuasa) besar di dunia.

Malah Hang Tuah peka akan politik, peradaban dan protokol kerajaan-kerajaan asing.

Buku ini juga mengimbau kemajmukan Melaka sebagai pelabuhan yang disinggahi oleh masyarakat seluruh dunia serta hubungan baik Melaka serta kerajaan-kerajaan lain di Tanah Melayu dengan kerajaan (negara) China dan India.

Tidak kurang sifat kemelayuan Hang Tuah dengan mahir pelbagai bahasa selain bahasa Melayu malah ia meningkatkan darjatnya. Inilah yang sepatutnya dicontohi oleh setiap umat Melayu.

Pergulatan di antara dua watak hero Melayu iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat juga telah disentuh, dilerai dan dihuraikan oleh Sim. Namun ingin juga saya berpesan satu perkara: watak Hang Jebat sebagaimana yang wujud dalam minda kita, ia tetap terlahir daripada Hikayat Hang Tuah.

Hikayat itulah yang mempopularkan watak Jebat yang dianggap derhaka bagi sesetengah orang dan dianggap sebagai revolusioner bagi sesetengah yang lain. Di dalam Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, tiada sebesar habuk pun dikisahkan Jebat yang berwatak revolusioner.

Dari sisi menyegarkan

Jika anda tertanya-tanya kisah tersebut lebih lanjut, ada baiknya Hang Tuah Adiwira Bangsa dibaca.

Perseteruan di antara Hang Tuah dan Hang Jebat memang menggambarkan dilema dalam masyarakat Melayu. Ia adalah persimpangan dan persoalan yang amat sulit.

Bagi memahami perkara itu Sim mencadangkan interpretasi dialektikal, iaitu benar-benar mengambil kira keadaan dan zaman ketika itu bagi menilai perilaku kedua-dua perwira yang asalnya bersahabat baik berkenaan.

Sim terus mengetengahkan watak Hang Tuah sebagai seorang polymath atau pakar dalam pelbagai bidang. Misalnya, Hang Tuah turut dikatakan arif dalam bidang ekonomi dan kewangan serta mahir dalam kejuruteraan dan teknologi.

Sebegitu juga watak Hang Tuah di dalam hikayat tersebut yang tidak lepas daripada dosa. Sebagai manusia biasa perwira tersebut juga melakukan kesilapan dan Sim tidak terlepas pandang menilai perkara tersebut.

Namun hikmah dan pengajarannya sangat besar dan tidak ternafikan.

Usahanya menekuni hikayat klasik Melayu dan rujukan-rujukan silangnya yang meluas lalu merumuskannya dalam bahasa yang lebih mudah, ringkas dan objektif sewajarnya dipuji, malah juga boleh dikritik secara adil dengan matang.

Melihat Hang Tuah dari sisi menyegarkan ini menjadikan Sim tidak hanya simbol ketaatan buta atau lambang Melayu hebat dengan menindas bangsa lain. Hang Tuah kini milik Malaysia dengan semangat dan kemahiran yang mendahului zaman dan selayaknya menjadi adiwira bangsa.

Sim kini menawarkan Hang Tuah Adiwira Bangsa sebagai hadiah untuk setiap sumbangan RM100 kepada #TabungAdiwira yang akan digunakan untuk kerja-kerja kebajikan anjurannya. Layari www.stevensim.com/tabungadiwira untuk maklumat lanjut.


RIZUAN ABDUL HAMID ialah pemerhati masyarakat dari anjung masjid dan pasar malam. Kini terpenjara oleh SOP, dia sering berangan menjadi helang yang terbang tinggi namun asyik terjaga kerana masih makan gaji. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.