Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Selamat meraih usia 49 tahun TV Pendidikan

ULASAN SENI | Apabila usia bidang pendidikan melalui televisyen di Malaysia genap 49 tahun hari ini (19 Jun 2021), bermakna usia pengalaman saya dalam bidang perfileman, penerbitan media dan pendidikan pandang dengar juga sama dengannya.

Saya mula berkhidmat sebagai kakitangan bukan guru pertama di TV Pendidikan (TVP) pada 1 Julai 1971 dan ditempatkan di unit perkhidmatan filem.

Turut bersama saya di situ ialah seorang pensyarah dari Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, bernama Tarlochan Singh. Tarlo - saya memanggilnya begitu - ialah ketua unit filem, dan saya bekerja di bawahnya.

Kami berdua membuat pelbagai kerja dari seni foto sehingga kamera filem, single frame filming, rakaman bunyi, penyuntingan dan lain-lain.

Tarlo seorang sahabat yang baik, sangat kreatif dan luas pandangan. Pada peringkat awal saya boleh katakan kami bekerja hampir 24 jam sehari untuk memenuhi keperluan pelbagai rancangan pada masa itu. Malah sebagai orang bujang, saya jarang-jarang balik ke rumah.

Kami berdua - yang ketika itu ditempatkan di Unit AVA (Audio Visual Aid) di Jalan Sulaiman - merupakan satu-satunya pasukan penggambaran yang ada di TVP.

Tugas kami ialah membuat segala penggambaran dan produksi luar studio. Saya teringat pada masa itu ada seorang jutawan perlombongan bernama Ng Beh Liew yang amat meminati seni fotografi.

Dapat anugerah dari Jepun

Dialah yang menjadi jurukamera sambilan untuk membantu kami dalam kerja-kerja penggambaran tertentu.

Pada masa itu TVP mendapat sokongan fasiliti daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk penerbitan studio dan penyiaran. Kami juga menggunakan makmal pemprosesan filem positif di RTM dan di Filem Negara Malaysia.

Dengan apa yang ada, dan hidup menumpang, kami dapat menunaikan kerja dengan baik. Bayangkan, dengan segala keterbatasan dan tanpa peruntukan namun pengorbanan kalangan penerbit, kami berjaya menerbitkan filem dan kandungan bahan siaran penting berbentuk dokumentari, cereka dan lakon semula peristiwa bersejarah.

Misalnya peristiwa Tok Janggut, Parameswara di Melaka, Datuk Patinggi Ali Sarawak, Abdul Rahman Limbong Terengganu, dan pelbagai genre filem dan kandungan lain.

Tidak ketinggalan diterbitkan ialah program-program eksperimental, sains, matematik, bahasa dan lain-lain

TVP yang pada masa itu dipimpin oleh VV George bukan sahaja berjaya membina asas pendidikan melalui televisyen yang tepat untuk negara ini, tetapi juga menjadi model rujukan kepada negara-negara lain serta badan antarabangsa seperti Unesco.

Pencapaian TVP yang boleh dibanggakan antaranya ialah apabila programnya bertajuk The Cognitive menerima anugerah The Japan Prize pada awal 1980-an.

Ia adalah anugerah yang dikeluarkan oleh stesen televisyen NHK untuk program pendidikan melalui televisyen dan pengajian jarak jauh untuk negara-negara pertubuhan telekom sedunia.

Ada banyak cerita suka duka, gembira dan sakit hati yang kami lalui pada awal penubuhannya sehinggalah TVP memilikki studio produksinya sendiri di Bukit Kiara.

Dan khabarnya perihal cerita suka duka dan sakit hati orang TVP tentang studio di Bukit Kiara ini datang balik sekarang ini. Entahlah.

Apa pun pada hari ini, pada hari ulang tahun TVP yang telah lewat dewasa, saya tergambar wajah dan terdengar suara orang penting yang turut mempengaruhi sudut padang hidup saya.

Selain VV George dan Tarlochan Singh ada ramai daripada mereka merupakan sahabat saya seperti Alim Salih, Ishak Hamzah, Mahmood Salleh, Abdul Raphor Ibrahim, Foo Thiam Win, KK Lau, Chandrashekaran, Ramli, Jabil Baba, Anette Vijayasurya, Hamid Ahmad, Jamil Ibrahim, Zul Yusoff, Mat Ghani Ibrahim, Gomos, Siti Jariah Man, Fatimah Abdullah, Yap Szi Yong, Joseph MA Caroll, Fazilah, Zabedah Mohd Nor dan ramai lagi.

Tempat jatuh lagi dikenang. Selamat menyabut usia 49 tahun TVP, walaupun kita tidak di situ lagi.


MAHADI J MURAT ialah profesor di Sekolah Komunikasi dan Teknologi International University of Malaya-Wales (IUMW). Dia pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan di beberapa stesen TV tempatan selain menerbit dan mengarah beberapa filem cereka.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.