Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anji dapat dadah melalui laman web, kata polis

Penyanyi terkenal Indonesia, Anji, mengejutkan polis yang menyoal siasatnya dalam kes pemilikan dadah.

Menurut Anji dia memperolehi dadah melalui sebuah laman sesawang berpangkalan di AS.

Kata Anji, untuk mendapatkan ganja tersebut, seseorang perlu terlebih dulu mendaftar dan membuka akaun khas sebelum boleh memesan bahan terlarang berkenaan.

Namun kata pemilik nama sebenar Erdian Aji Prihartanto itu, dia tidak memiliki akaun tersebut.

Ketua Polis Jakarta Barat, Ady Wibowo, berkata Anji mendakwa ada seseorang yang menggunakan inisial BRO - iaitu pemilik akaun khusus - yang menjadi orang tengah bagi menguruskan dadah berkenaan.

“Dialah (BRO) yang memiliki akaun khas tu, manakala Anji hanya perlu memilih jenis dadah yang diingini. Kemudian BRO membuat pesanan dan kemudian menyerahkan kepada Anji,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Ady berkata, BRO masih diburu polis bagi membantu siasatan berkaitan pemilik laman sesawang jual beli ganja itu.

Terdahulu, Anji, 42, ditangkap sewaktu pemuzik itu bersendirian di studio muziknya di Cibubur, Jakarta Timur pada 11 Jun lalu. 

Di studio rakaman Anji, polis merampas pati ganja, kertas vapor, dan pembesar suara yang digunakan untuk menyimpan gulungan ganja.

Polis turut menemukan 30 gram dadah dari dua tempat serbuan berbeza, iaitu di di Cibubur dan satu lagi di Bandung, Jawa Barat.

Dan yang terbaru, menurut Ady, polis merampas ganja lain di kediaman Anji di Bandung.

"Di sana polis menemukan biji-biji ganja, batang ganja dan sebuah buku Hikayat Pohon Ganja," katanya.

Ujian saringan air kencing mendapati bekas vokalis kumpulan Drive itu positif dadah.

Ketika disoal siasat, Anji mengakui dia sudah terjebak dengan bahan terlarang itu sejak sembilan bulan lalu

Anji menghadapi tuduhan yang membolehkan dia dihukum penjara maksimum 12 tahun.