ULASAN | 'Sembang kari' dan 'badi Tasik Chini'
ULASAN SENI | Menunggu munculnya filem berkenaan Tasik Chini pada dekad-dekad terkini ini seolah-olah menanti munculnya naga yang disebut-sebut kononnya mendiami kawasan berkenaan.
Yang terjadi hanyalah janji ikut sedap gigi. Bak kata warganet "kalau sembang, gajah pun boleh terbang."
Jika tidak kerana tular gambar kawasan Tasik Chini, ramai akan terlepas pandang pada 'permata alam' negeri Tok Gajah itu. Biarpun ada mendakwa gambar itu dirakam dua tahun lalu, semasa era PKP 3.0 ini netizen peduli apa.
Ada peluang boleh 'tembak' maka mereka 'tembaklah' sana sini - daripada pihak berkuasa hinggalah ke pihak istana terpalit sama. Implikasinya Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanul Ibrahim Al-Sultan Abdullah kelmarin menitahkan supaya aktiviti penerokaan hutan dan perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan.
Itu cerita realiti di antara manusia dan alam di Tasik Chini yang tidak pernah sunyi, asyik berlaga emosi.
Perihal fiksyen pula, usah terlepas pandang dengan filem berkaitan Tasik Chini. Apa sudah jadi dengan filem itu? Hasrat untuk memfilemkan kisah Tasik Chini bermula sejak 1995. Projek diusahakan penyanyi dan pelakon Raffi Hussein selaku penerbit.
Namun ia tergendala kerana kekangan bajet.
Pada pertengahan 2003, Raffi dua tiga kali datang ke pejabat penulis dan memberitahu projek filem itu - yang dinamakan Chini saja - akan diteruskan. Betapa bersemangatnya Raffi ketika itu.
Bertahun masih belum berjalan
Dia seperti tidak sabar melangkah ke lokasi kerana Chini mendapat suntikan dana daripada Kementerian Penerangan.
Sebagai tanda penghargaan untuk filem itu, Khalil Yaakob selaku Menteri Penerangan ketika itu dijadual untuk mengarahkan tiga babak Chini sebagai penghormatan. Ia membabitkan aksi helikoper mengejar bot.
Raffi mengajak penulis ke majlis pelancaran filem itu di lokasi penggambaran, tetapi kerana kesibukan di pejabat hanya wartawan saja yang dihantar sebagai wakil.
Tasik Chini yang diberi pengiktirafan dunia sebagai tapak rizab biosfera Unesco ketika itu cukup mempesona seperti dilaporkan pada Ogos 2004.
Ketika itu seramai 100 penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia menyertai Ekspedisi Saintifik Tasik Chini dalam usaha memulihara kepelbagaian sumbernya.
Ekpedisi diketuai Prof Madya Dr Mushrifah Idris itu dirasmikan Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob, sebagai mewakili Najib Razak selaku timbalan perdana menteri.
Perhatian serius diberi kerajaan terhadap Tasik China menyemarak lagi semangat Raffi. Liputan media sudah diberi, namun dari 2003 hingga 2008 penggambaran Chini masih tidak berjalan.
Projek Chini terus sepi apabila Raffi dijemput Ilahi dalam usia 49 tahun pada 14 Oktober 2008.
Usaha untuk filemkan Chini kembali muncul pada Jun 2013 apabila tersiar berita sebuah produksi baru, Versaeye Consultant, akan menerbitkan The Chini Saga dengan kos RM17 juta.
Selamba petik nama artis
Filem diusahakan Mohd Rafeezi Mohd Zain (Pveezi Zain) itu mahu dihasilkan dengan skala lebih besar membabitkan enam negara iaitu Malaysia, Thailand, Brunei, Indonesia, China dan India.
Ia jadi lebih menjanjikan apabila nama bintang siri Smallville, Kristin Kreuk, dipetik sebagai salah seorang pelakonnya. Lokasi pula bukan 'kaleng-kaleng'. Ia dikhabarkan akan dirakam di Langkawi, Sarawak, Singapura, Thailand, China, India, Norway dan Palestin.
Tidak ada pula Kristin membuat kenyataan sama ada dia memang mendapat tawaran daripada The Chini Saga.
Kronologi produksi The Chini Saga:
- April 2014 - Kos The Chini Saga dianggarkan RM20 juta dengan 15 pelakon utama.
- Sasaran filem ini siap hujung 2015 namun gagal
- Jun 2016 - Jackie Chan dan Rajinikanth disebut akan membintangi filem The Chini Saga - Kymersia Kingdom & 7 Princess membabitkan kos RM25 juta terbitan TCS dan Otai Productions. Kos promosi RM5 juta dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) setuju beri dana RM4 juta.
- Januari 2020 - The Chini Saga didakwa akan diterbitkan bersama Pertubuhan Generasi Digital Malaysia dengan suntikan pembiayaan RM102 juta daripada RSB Investment Bank. Penggambaran dijangka hujung 2020.
Strategi memetik nama orang itu dan orang ini memang salah satu pilihan yang boleh dibuat pihak penerbit. Ia adalah langkah untuk memancing publisiti.
Misalnya penerbit yang 'berani' akan memetik nama Selena Gomez kononnya akan berlakon sebagai Tun Teja untuk digandingkan dengan Justin Bieber sebagai Hang Tuah. Wartawan akan tulis berita itu.
Dan gambar bintang ternama itu akan disiar besar-besar kerana tidak pekanya pihak media dengan taktik promosi.
Kecuali wartawan terbabit ada inisiatif yang lebih untuk menghubungi publisis (ejen) bintang terkenal dunia itu untuk membuat semakan apakah benar atau tidak tawaran tersebut ada diberikan.
Sejak era Raffi Hussein ke Preevi Zain; daripada kos RM17 juta mencecah RM102 juta; sudah suku abad berlalu namun filem berkaitan Tasik Chini masih belum menjadi realiti.
Mungkinkah ada badi Tasik Chini hinggakan apa jua produksi yang mahu dihasilkan berkaitan nama itu serba-serbi tidak menjadi?
Impian Raffi tinggal kenangan, tetapi Preevi masih ada harapan lagi. Suntikan dana diterima kedua-duanya bolehlah diumpamakan seperti Mayang (Latifah Omar) diberi geliga sakti untuk dia lebih berkuasa daripada Nilam Gelora Sakti (Siput Sarawak) dalam filem dulu-dulu, Naga Tasik Chini.
Sumpahan Mayang supaya Nilam Gelora menjadi naga benar-benar menjadi. Malangnya kerana melanggar pantang, Mayang sendiri bertukar menjadi naga. Akhirnya kedua-dua mereka gagal memiliki Jaya Putra (Mustafa Maarof) yang disumpah menjadi pulau.
Dek filem arahan Nordin Ahmad pada 1966 itu, sehingga kini kita dimomok dengan adanya naga di Tasik Chini itu.
Natijahnya usahlah kita pula dimomok oleh pelbagai produksi mahu menghasilkan filem Chini, tetapi realitinya hanyalah 'sembang kari.'
ADAM SALLEH ialah bekas pengarang hiburan dan pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai