Ada yang mengeluh, tapi bagi pelukis ini, PKP itu inspirasi
Berilhamkan isu semasa, Izzati Suza, seorang seniman sepenuh masa, mencuri tumpuan orang ramai dengan karya seninya.
Terbaru, dia mengekspresikan lukisan berdasarkan ragam masyarakat dan diri sendiri terhadap peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Masih kekal dengan konsep parodi, karya seninya kali ini berkonsepkan drama televisyen popular tetapi diinspirasikan daripada keadaan sebenar.
“Masa pertama kali PKP, saya buat parodi Chupa Chups dan roti Gardenia. Kali ini konsep artwork untuk PKP 2.0 saya buat berdasarkan parodi drama TV. Konsep dia parodi tapi tajuk dia semua adalah realiti kehidupan sebenar,” katanya.
Izzati menghasilkan lukisan untuk menggambarkan ragam dan sikap masyarakat semasa pandemik.
Ada lukisan yang bertajuk “Curi-curi rentas negeri (tapi polis suruh patah balik) dan ada juga “Rindu tapi banyak roadblock”.
Bagi “Curi-curi rentas negeri”, lukisan ini diilhamkan daripada akhbar yang hampir setiap masa menunjukkan ramai masyarakat yang cuba merentas negeri ketika kerajaan menguatkuasakan sekatan jalan raya.
“Kalau untuk lukisan ‘Rindu tapi banyak roadblock’ dan ‘Jangan Bilang PKP’ itu pula, berdasarkan pengalam saya sendirilah. Waktu itu diumumkan setiap 10km akan ada sekatan, jadi rasa macam letihlah.
“Kalau untuk lukisan ‘Jangan Bilang PKP’, ini sebab saya jadi keliru bila kerajaan asyik umum sekejap PKP, sekejap PKPB, PKPP lepas itu umum balik PKP,” kata gadis 26 tahun itu.
Semasa PKP sebelumnya, Izzati mendapat inspirasi daripada Chupa Chups, roti Gardenia, Balm dan Yoko-Yoko serta beberapa jenama lain ketika terperangkap di rumah.
“Masa PKP1.0 tahun lepas, saya buat roti sebab masa itu saya tengok semua orang berebut roti Gardenia.
“Balm dan Yoko-Yoko pula saya buat konsep macam Kit to Survive masa PKP sebab itu edisi ini saya namakan Kedai Serbaneka.
“Bagi edisi Hari Raya Aidilfitri PKP tahun ini pula, saya menghasilkan beberapa keping sampul raya yang bertemakan kemas rumah dan mendapat banyak sokongan walaupun musim PKP,” katanya.
Pemenang pertandingan “APOM Ada Talent” itu merupakan antara pelukis yang semakin dikenali dengan pelbagai produk dan karya seni yang unik.
Bagi Izzati, seni dapat meluahkan rasa serta menterjemah mesej secara mendalam kerana di sebalik karya ada kisahnya.
“Saya suka buat artwork yang seboleh-bolehnya buat orang terhibur atau kaitkan dengan mereka.
“Saya harap melalui seni juga saya boleh mengekalkan dan terus berhubung dengan orang,” tambah Izzati ketika ditemu bual baru-baru ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai