Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Eyka Farhana kecewa gagal kembangkan bakat ke Indonesia

Terpaksa membatalkan pembabitannya dalam sebuah produksi di Indonesia dek beberapa kekangan termasuk Covid-19, pelakon Eyka Farhana mengakui kecewa hasratnya melebarkan sayap ke negara jiran itu tidak kesampaian.

Katanya, jika diikutkan, drama Pretty Little Liars musim kedua itu dijadualkan memulakan penggambaran pada 25 Jun ini.

Namun, menurutnya, disebabkan kekangan jadual untuk sebuah lagi drama tempatan yang tertangguh penggambaran, produksi Indonesia itu terpaksa menggantikan watak Ema yang dipegangnya dalam musim pertama dengan pelakon lain.

“Jika nak bercakap tentang kerugian, perkara yang paling dirasai ialah tak dapat teruskan rancangan untuk kembangkan nama di Indonesia.

“Memang kecewa tapi saya mahu terus kekal positif dan anggap mungkin akan ada rezeki yang lain buat saya,” katanya pada sidang media secara maya drama Budak Tebing 2 hari ini.

Patut pergi awal Jun

Kata pemilik nama penuh Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi itu, yang paling mengalami kerugian adalah produksi di sana memandangkan mereka terpaksa meneruskan penggambaran walaupun tanpa pembabitannya.

“Mereka perlu ikut skrip dari jalan cerita asal dan ada tempoh untuk menyiapkan penggambaran,” katanya.

Untuk rekod, Pretty Little Liars versi Indonesia itu adalah naskah adaptasi drama Hollywood, Pretty Little Liars yang bercorak misteri-thriller.

Kata Eyka Farhana, 26, pihak produksi sebenarnya sudah menyediakan beberapa keperluan untuk membolehkan dia berada di Indonesia bagi menjalani penggambaran tersebut.

“Sebenarnya saya memang sudah hampir 90 peratus hampir bertolak. Jika ikutkan, rancangan asal untuk bergerak ke Indonesia pada 1 Jun lalu. 

"Saya juga perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum mulakan penggambaran,” katanya.

Selain Eyka Farhana, Pretty Little Liars versi Indonesia turut dijayakan bersama Shindy Huang, Anya Geraldine, Valerie Thomas dan Wulan Guritno.

Sementara itu, bercakap mengenai Budak Tebing 2, Eyka Farhana berkata, dia tidak berdepan banyak cabaran kerana sudah mempunyai keserasian dengan beberapa pelakon sama yang menunjangi drama berkenaan sejak musim pertama.

Cuma harapannya hanya satu, dia ingin melihat naskhah arahan Feroz Kader itu berjaya mengulangi kejayaan mencatat rekod gemilang dengan 10 juta penonton sepanjang ia bersiaran 13 episod di slot Lestary TV3.

“Jika boleh, saya harap naskah musim kedua mudah diterima penonton.

"Semua pelakon sudah memberikan yang terbaik, diharapkan penonton akan menyukai hasil kerja kami,” katanya mengenai drama yang akan mula bersiaran pada 18 Jun itu.

Drama bersiri Budak Tebing yang mengambil pendekatan masalah sosial dalam kalangan remaja mendapat perhatian dan ikutan ramai sejak disiarkan.