ULASAN | Filem untuk menyuluh kemelut maut dalam tahanan
ULASAN SENI | Sekiranya anda ditanya, apakah yang seni mampu tawarkan? Jawablah dengan lidah yang fasih dan hati yang tenang: keadilan.
Ada banyak filem berdasarkan kisah benar yang pernah dihasilkan. Dari kisah sekumpulan banduan meloloskan diri dari penjara terkebal di AS muncul Escape From Alcatraz.
Pergulatan penterjemah agensi keselamatan British, Katharine Gun, untuk menjadi pembocor rahsia bagi kegiatan sulit kerajaan melakukan pemerasan terhadap perwakilan PBB undi untuk menyerang Iraq diberi nafas dalam Official Secret.
Ada juga kisah Kim Sa-bok si pemandu teksi yang menyeludup wartawan Jerman yang berhadapan pengalaman getir berkaitan korban 600 pelajar dan penduduk Gwangju dalam A Taxi Driver.
On My Skin pula bercerita tentang pengalaman tujuh hari terakhir dalam hidup Stefano Cucchi sebelum dia ditemui mati dalam tahanan polis Rome, Itali.
Hal-hal pentadbiran dan urusan negara tentulah isu penting yang tak wajar dilupakan seni filem lupa. Tidak dapat tidak - baik melalui lirik lagu, pentas teater, dokumentari atau filem cereka - segala peristiwa penting patut dicatatkan dengan versi seni.
Mungkin kerana tiada motivasi
Nafas baru dari pementasan, lagu dan penvisualan kisah itu nanti tidak hanya akan jadi sebuah hasil seni, bahkan merupakan wacana intelek dan kenyataan politik yang mungkin saja mengejutkan.
Kebenaran memang selalu mengejutkan. Sepertimana negara ini berkali-kali dikejutkan dengan kes kematian dalam tahanan. Justeru nama-nama seperti Ganapathy, Umar Faruq, Sivabalan Subramaniam dan Surendran Shanker dibangkitkan untuk mencari jawapan dalam sistem keadilan.
Ada sebab mengapa seni itu perlu sesekali mengambil alih peranan penting perundangan. Ia malah menjadi keperluan kerana seni memiliki kualiti serta kemampuan besar untuk menonjolkan hal-hal kebenaran yang boleh menyedarkan masyarakat.
Kekuatan pengaruh yang dimiliki seni sebetulnya kurang disedari dan agak kurang diberikan perhatian oleh pembikin filem tempatan. Mungkin kerana ketiadaan motivasi dan dana besar dari Finas.
Atau barangkali akibat dari ketiadaan kategori filem dokumentari yang dipertandingkan dalam festival filem Malaysia hingga menjadikan dokumentari sejenis seni filem yang langka dari arus perdana di negara ini.
Sejak 1969 sehingga 1999, Britain merekodkan lebih 1,000 kes kematian dalam tahanan. Namun tiada anggota polis yang pernah didakwa dan disabitkan atas mana-mana kes.
Hal seserius itu menarik perhatian Ken Fero bersama Tariq Mehmood untuk menghasilkan sebuah dokumentari berjudul Injustice bagi mempersoalkan perkataan keadilan.
Isu tersebut tidak pernah mahu dijadikan isu negara. Ia jadi tabu sampai enggan diperkatakan apatah lagi didebatkan secara serius untuk mencari jalan penyelesaian.
Dalam seni filem, ada satu kaedah penceritaan yang disebut sebagai perawian. Kaedah ini kerap digunakan dalam filem dokumentari bagi mengukuhkan kepercayaan dalam isi dan inti subjek yang mahu diketengahkan.
Dari cara memilih susuk yang tepat untuk menceritakan sesuatu peristiwa, dokumentari akan sekali gus memiliki metadologi politik dalam menyampaikan hasutan menegakkan semangat dan menebalkan emosi dalam konteks subjek utama.
Isu kemanusiaan belum berjawab
Cara pendokumentarian Injustice yang dihasilkan pada 2001 mengetengahkan susuk-susuk wanita sebagai pejuang yang pada asalnya terkontang-kanting untuk bangkit memperjuangkan kematian orang yang mereka sayang.
Perawian daripada susuk-susuk itu melahirkan kepekatan perasaan yang tentulah bukan daif dan jauh dari sanad yang dipalsukan.
Bermula dengan eksposisi perkenalan mereka yang terlibat, perasaan dan pengalaman perawi-perawi diriwayatkan dengan suatu kesan dan akibat yang kuat.
Injustice perlahan-lahan meletakkan segala persoalan berkenaan kematian dalam tahanan sebagai konflik politik yang serba menekan tapi diabaikan. Secara beransur-ansur isu ras, bangsa, kaum serta sentimen antipendatang menjadi katalis yang dibangunkan tanpa jawapan.
Persoalan tentang kewujudan ketidakadilan dalam sistem keadilan, organisasi kepolisan dan seluruh ekosistem kehakiman muncul sebagai kemuncak menjadi konflik mencari penyelesaian.
Urusan negara adalah urusan serius yang tidak akan dapat diselesaikan dengan seni berswafoto para menteri.
'Falsafah' menebuk bawah kapal selepas mengaku menebuk atap kerajaan daripada seorang presiden parti sama sekali tidak akan dapat memunasabahkan kenaikan melampau harga minyak masak.
Merestui acara penyemburan manusia dengan Dettol dan menolak akses untuk pegawai hal-ehwal pelarian PBB pula kekal menjadi persoalan kemanusiaan yang belum berjawab.
Injustice mengingatkan kita bahawa Ganapathy, Umar Faruq, Sivabalan Subramaniam dan Surendran Shanker bukan hanya sekadar nama. Akan tetapi ada ibu, ayah, adik dan anak yang tidak seharusnya dibiar senyap.
Justeru tatkala ruang eksklusif keadilan dan kemuliaan perundangan gagal menyuguhi keadilan, seni mampu menjadi suluh ke arah kebenaran.
Dan menawarkan keadilan.
HARIS HAUZAH ialah lelaki yang dijauhi perempuan kerana hakikat dirinya yang tidak kaya dan bergaya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai