UTM: Program Ramli Ibrahim dibatal atas faktor 'kesesuaian'
Program perkongsian melibatkan tokoh tarian klasik India terkenal Ramli Ibrahim, yang sepatutnya berlangsung secara dalam talian semalam, dibatalkan atas faktor kesesuaian program, menurut Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan malam tadi sebagai respons UTM terhadap Rami yang menyuarakan kekecewaannya terhadap pembatalan Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa (MISTAR’21) tersebut.
“Mesyuarat Pengurusan Pusat Islam UTM telah bermusyuwarah dan bersepakat menasihatkan agar pelaksanaan program ini tidak diteruskan atas faktor kesesuaian program.
“Keputusan ini juga dibuat berdasarkan Garis Panduan Peraturan Kebudayaan dan Kesenian UTM yang mana pelaksanaan setiap program di bawah aliran ini perlu dirujuk dan diluluskan penganjurannya oleh pihak Pusat Islam UTM.
“Keputusan Pusat Islam UTM mewakili pendirian universiti, menitikberatkan pengisian program yang tidak menyinggung mana-mana pihak serta seimbang daripada pelbagai aspek termasuk kepelbagaian, kesejahteraan dan kerohanian,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Ramli - tokoh tarian klasik India ternama dan pernah memenang pelbagai anugerah termasuk sebagai Unesco Living Treasure oleh PBB - meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial berhubung pembatalan tersebut oleh Pusat Islam UTM tanpa alasan yang jelas.
Pengasas Sutra Foundation itu berkata tiada apa yang berubah dalam perkara itu, dengan membangkitkan pembatalan program kesenian di universiti lebih tiga dekad lalu.
“Pembatalan ini mengingatkan saya mengenai peristiwa lain lebih dari tiga dekad yang lalu, berkaitan pameran fesyen akhir tahun yang dianjurkan oleh pereka dan Pengarah Bahagian Fesyen UiTM (Universiti Teknologi Mara) ketika itu, Dr Najib Nor.
“Kegiatan kokurikulum jabatan ini dianggap 'tidak sesuai' dan dibatalkan oleh sebab-sebab tertentu. Tidak ada yang berubah dalam sistem dan itulah sebabnya kita masih berada di mana kita berada sekarang.
“Perkara ini telah berlarutan selama berdekad-dekad. Pusat Islam berperanan seperti badan pemantau moral terhadap banyak institusi kerajaan dan separa kerajaan,” katanya, yang menyifatkan hal itu sebagai telah membelenggu mentaliti masyarakat Malaysia.
Dalam pada itu, UTM berkata pihaknya memohon maaf terhadap Ramli atas kesulitan yang berlaku dan berharap dia terus memberi sokongan terhadap program universiti pada masa akan datang melalui platform yang berbeza.
Pada masa sama, UTM berkata MISTAR ‘21 masih berlangsung dengan pelbagai kegiatan lain antaranya seperti program Bual Bicara Revolusi Seni Rumah Kita, Program Seni Catan Air, Bual Bicara Terrarium, dan Program Kenali Wayang Wong.
“Sungguhpun UTM merupakan universiti berteraskan kejuruteraan, sains dan teknologi, pihak universiti sememangnya menyokong penganjuran serta keterlibatan pelajar dalam program-program kesenian.
“Adalah menjadi kebanggaan universiti untuk menjadi platform aktiviti seni dan kebudayaan untuk menjadi ikutan masyarakat luar tanpa berlaku percanggahan budaya dan tidak melanggar batasan agama Islam serta kepelbagaian budaya asli Malaysia,” kata UTM.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai