Noh Salleh ajak orang ramai bersolidariti lari 20km bantu Palestin
Penyanyi Noh Salleh menyeru orang ramai menunjukkan solidariti mereka kepada Palestin dengan berlari sejauh 20 kilometer bersamanya mulai 11 Jun ini.
Ia bukanlah larian biasa, sebaliknya aktiviti kemenangan untuk Palestin adalah secara maya dan boleh diadakan di rumah saja.
Kata Noh, selain mengujakan, Larian Maya Keluarga 20km Untuk Palestin itu juga membuka ruang untuk orang ramai menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban dialami rakyat negara berkenaan.
“Saya menyokong usaha oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Malaysia for Syria (MFS) untuk acara larian ini.
“Larian secara maya ini menjadi aliran (trend) pada masa sekarang memandangkan situasi kita ketika ini, justeru aktiviti berkenaan adalah selamat, tiada kontak rapat dan ada beberapa hari untuk anda habiskan larian.
“Ia tak sederas maraton sebenar, namun ia tetap menyeronokkan, bermanfaat dan pada masa sama membantu penduduk Palestin,” katanya kepada Malaysiakini.
Untuk rekod, pendaftaran untuk acara tersebut masih dibuka sehingga 7 Jun ini. Peserta pula mempunyai masa untuk menamatkan larian selewat-lewatnya 11 Julai depan.
Berkongsi bagaimana Noh terbabit sebagai sukarelawan, vokalis kumpulan Hujan itu berkata, ia bermula sejak dia dan Nina menjadi teman rapat di GPM.
“Kami pernah menjalankan misi bersama-sama. Kebetulan pula saya diketahui memang suka berlari. Nak kata hebat, tidak tapi konsisten tu, ada.
“Saya pula sering ajak peminat untuk lari bersama serta mempromosi gaya hidup sihat. Justeru, hal itu yang membuatkan GPM mendekati dan seterusnya ajak saya untuk sertai mereka,” katanya.
Ditanya bagaimana sekiranya usahanya itu tidak mendapat sambutan kerana diadakan secara maya, Noh sebaliknya kekal bersikap positif.
Kata penyanyi Jiwa Kelajuan itu, berdasarkan pengalamannya aktiviti sedemikian mampu mencapai sasaran lebih luas kerana dapat menarik perhatian sesiapa saja termasuk seseorang yang bukan 'kaki lari.'
“Tengok poster saja dah buat orang berfikir, terutama dengan sasaran kita untuk capai penyertaan yang banyak.
“Biasanya orang memang kaki lari ni akan beri respon positif. Perkara sama juga mungkin berlaku pada orang yang tak pernah terfikir mengenai acara larian.
“Mungkin tarikan tu akan lebih banyak sebab jarang ada program larian diadakan untuk menyempurnakan misi kemanusiaan yang dijalankan sesebuah organisasi,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai