Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Harussani, Jom Heboh dan doa buat perempuan Sikh

ULASAN | Umum memang sedia maklum ketokohan almarhum Harussani Zakaria sebagai agamawan, justeru mengaitkan bekas mufti Perak itu dengan dunia hiburan akan nampak janggal.

Lainlah ahli politik - biar pun tebal berimej Islamik masih ada juga yang terpalit dengan gosip artis.

Sungguh pun begitu Harussani memang ada 'sejarah' dengan dunia hiburan. Sekurang-kurangnya dia terbabit dengan cara tersendiri dalam program Sure Heboh dan kisah hidup Jeffrydin.

Dulu - tatkala stesen TV3 baru bertatih menganjurkan Sure Heboh pada 2003 - Harussani satu-satunya tokoh agama tanah air paling lantang mengkritik karnival itu.

Sebagai mewakili Majlis Mufti Malaysia, fatwa dikeluarkan bahawa penganjuran Sure Heboh - atau kemudian dikenali sebagai Jom Heboh - oleh TV3 itu adalah haram.

Alasan pengharaman berkenaan merujuk kepada suasana bercampur gaul antara jantina terutama remaja Melayu (Islam) semasa karnival itu berlangsung dengan meriah.

Penulis ketika itu bertugas sebagai pengarang hiburan akhbar yang diterbitkan di bawah bumbung Media Prima. Syarikat akhbar kami dan TV3 dinaungi oleh payung yang sama.

Justeru sedikit sebanyak isu berkenaan terpalit sama pada penulis. Maka strategi promosi lebih berkesan dirancang dan dilakukan bagi menampakkan imej positif Sure Heboh.

Tatkala kemelut Sure Heboh dengan Harussani membara, pakar bahasa mengkritik perkataan 'sure' itu tidak menampakkan sifat kemelayuannya.

Demi kelangsungan karnival tiga hari tiga malam di pelbagai lokasi itu - dengan kemuncaknya diadakan konsert khas - Sure Heboh dijenamakan semula dengan nama sedikit lain: Jom Heboh.

Biarpun sebutannya berubah, Harussani tetap istiqamah dengan fatwa dikeluarkan dahulu. Implikasinya di awal penganjuran Jom Heboh, Perak dan Kelantan antara negeri yang tidak membenarkan karnival itu diadakan di negeri terbabit.

Sifat kebapaan

Di sebalik sikap tegas Harussani, sifat kebapaannya tetap abadi dalam ingatan keluarga penyanyi pop yeh yeh, Jeffrydin dan isterinya, Rashidah (Shidah) Abdullah, 65, yang berasal dari Island Glades, George Town.

Ketika dihubungi, Shidah yang berketurunan Sikh itu berkata tidak lekang di ingatan bagaimana Harussani - ketika itu bertugas sebagai pegawai agama di Pulau Pinang - mempertahankan dirinya daripada diserang keluarga apabila mereka mendapat tahu dia memeluk Islam pada pertengahan 1970-an.

"Saya dibawa keluarga angkat ke pejabat agama Islam di Pulau Pinang untuk bertemu Harussani bagi pengesahan syahadah.

"Tindakan saya itu tidak disenangi keluarga hinggakan ada yang bertindak mengangkat kerusi mahu membalingnya ke arah saya.

"Dalam ketakutan saya mendapat semangat apabila Harussani yang saya panggil ustaz ketika itu memberi amaran: sekiranya badan saya luka atau tercalar, dia boleh ambil tindakan undang-undang," katanya.

Melihat situasi ketika itu yang tegang, sebaik selesai urusan di pejabat agama itu, kata Shidah, Harussani meminta kerjasama polis untuk mengiringi wanita terbabit pulang ke rumah ibu bapa angkatnya di Bukit Mertajam.

"Sejak insiden itu, saya mulai rapat dengan Harussani sehinggalah beliau berpindah ke Perak.

"Dulu jika ada hal-hal berkaitan Islam yang saya tidak faham, saya akan telefon beliau," katanya.

Menurut Shidah, apabila dia berkahwin dengan Jeffrydin, Harussani sempat berpesan supaya dia menjaga rumahtangganya dengan sebaik mungkin.

"Harussani kata bukan mudah berkahwin dengan artis. Saya kata, saya faham dan dah bersedia.

"Syukur alhamdulillah saya dan abang Jeff diterima keluarga, dan rumahtangga yang kami bina masih bertahan selepas lebih 40 tahun dan kami bahagia dengan dikurniakan tiga anak," katanya.

Menurut Shidah ketika mahu menunaikan haji pada 2015, sebelum berangkat dia cuba menghubungi Harussani di pejabat mufti berkenaan di Perak tetapi panggilan tersebut tidak berjawab.

Namun ia bukanlah berita mengecewakan sehingga akhir. Tanpa disangka Shidah menerima panggilan telefon daripada Harussani sendiri.

"Saya sangat terharu apabila beliau telefon saya semua walhal saya faham bagaimana kesibukannya sebagai mufti," katanya.

"Selepas menceritakan bahawa saya akan ke Tanah Suci, beliau begitu teruja dan berpesan agar saya banyakkan berdoa serta bersabar di sana.

"Saya lebih tersentuh apabila beliau membacakan doa melalui telefon untuk saya supaya selamat dan mendapat haji mabrur," katanya.

Kini Harussani sudah tiada. Hanya namanya yang meniti di bibir ramai orang. Tokoh yang disegani ramai itu menghembus nafas terakhir di Ipoh, Perak pada 30 Mei lalu.

Sudah tentu ia memberi kesan besar kepada Shidah. Dengan pelbagai pengalaman dan bantuan yang pernah diberikan tokoh berkenaan, kehilangan Harussani memang sangat dirasainya.

"Saya betul-betul sebak sebaik mendapat berita Harussani sudah tiada. Jasanya besar untuk menguatkan semangat saya di peringkal awal mengucap syahadah," katanya.


ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang berita untuk akhbar kumpulan Media Prima yang kini menjadi penulis bebas sepenuh masa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.